Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE sempena Aidiladha

LocalCars
26 May 2026 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE sempena Aidiladha
Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan.
Image from: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE sempena Aidiladha
Dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna disaran memanfaatkan versi terkini aplikasi mudah alih WCE
Image from: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE sempena Aidiladha
Pengguna juga digalakkan mengamalkan pemanduan berhemah, bersabar serta mengambil rehat secukupnya di R&R atau Hentian Sebelah bagi mengelakkan keletihan dan risiko microsleep.

SHAH ALAM - Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, cuti persekolahan serta cuti hujung minggu yang panjang.

WCE dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, peningkatan ketara aliran trafik dijangka berlaku susulan pergerakan pulang ke kampung dan aktiviti percutian sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna, pelbagai langkah kesiapsiagaan akan dilaksanakan termasuk penangguhan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang membabitkan penutupan lorong lebuh raya, kecuali kerja kecemasan luar jangka.

Menurut kenyataan itu, jentera bantuan seperti trak tunda turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya.

**media[3533269]**

“Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda juga diperkukuhkan bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari.

“Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna disaran memanfaatkan versi terkini aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan seperti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan.

Aplikasi itu turut menyediakan bantuan Kecerdasan Buatan (AI) serta maklumat trafik masa nyata.

Selain itu, perancangan perjalanan digital dipermudah menerusi sokongan menyeluruh sistem PayDirect Touch ‘n Go di semua plaza tol WCE yang membolehkan caj ditolak terus daripada baki e-dompet tanpa perlu menambah nilai kad secara manual.

**media[3533270]**

WCE turut menyediakan enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lengkap dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir, surau dan tandas.

Kemudahan gerai makanan pula disediakan di beberapa lokasi terpilih iaitu di R&R Sungai Nyior arah utara dan selatan serta R&R Bukit Kapar arah utara, manakala Hentian Sebelah dengan kemudahan asas turut disediakan di setiap plaza tol.

Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix pula menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada sepanjang tempoh aliran trafik tinggi.

“Dalam tempoh pergerakan trafik yang tinggi ini, kami menasihatkan semua pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan aspek keselamatan pada setiap masa.

“Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan efisien.

“WCE mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, Selamat Hari Wesak dan selamat bercuti kepada semua. Berhati-hatilah di jalan raya,” ujarnya.

Pengguna lebuh raya turut disaran memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju serta mengekalkan jarak selamat antara kenderaan.

Selain itu, semua penumpang perlu memakai tali pinggang keledar dan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), selain memastikan baki e-dompet atau kad Touch ‘n Go mencukupi bagi mengelakkan gangguan transaksi di plaza tol.

Pengguna juga digalakkan mengamalkan pemanduan berhemah, bersabar serta mengambil rehat secukupnya di R&R atau Hentian Sebelah bagi mengelakkan keletihan dan risiko microsleep.

Aplikasi mudah alih WCE boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store, selain pengguna digalakkan menyemak keadaan trafik semasa menerusi ciri CCTV dalam aplikasi berkenaan sebelum memulakan perjalanan.