
SEREMBAN: Lebih 20,000 pengunjung membanjiri pekarangan Dataran Majlis Bandaraya Seremban di sini seawal pukul 5.30 pagi tadi bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Sembilan hari ini.
Paling menarik, ramai kanak-kanak dilihat mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan beruniform tentera, membangkitkan rasa cinta pada negara selain ada yang berbaju batik ketika meraikan sambutan berkenaan.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat menyaksikan acara sambutan tersebut.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu kira-kira pukul 8.30 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar Sungei Ujong dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 84 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan termasuk daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat daripada Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Noor Azlan Husin, Pegawai Panji-panji Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja Left Muhamad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen Pegawai Waran 1 Ahmad Abu Bakar.
Acara berkenaan diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major Sarjan Mohd Saiful Mohd Haniff.
Pada majlis itu juga, turut dipersembahkan perarakan aset artileri Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain persembahan serta bacaan puisi oleh artis Vanida Imran. Acara berkenaan diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan.
Aminuddin ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata kehadiran pengunjung di luar jangka hari ini membuktikan orang ramai terutama golongan muda mempunyai kesedaran dan semangat patriotik yang tinggi dan ini perlu dipelihara.
“Alhamdulillah, kita lihat bagaimana semangatnya rakyat dengan kehadiran yang cukup mengagumkan, ada yang datang seawal 5 pagi bersama ahli keluarga... kita rasa seperti sambut hari raya kerana kehadiran yang cukup ramai.
“Dalam sejarah saya enam tahun jadi Menteri Besar, inilah kehadiran yang amat besar, kemungkinan berkat Kerajaan Perpaduan... lebih dua kali ganda daripada tahun lepas, mana-mana tempat mereka duduk, kanak-kanak, orang tua, dewasa semua hadir untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Hafiza Ahmad Favil, 40, bersama lima ahli keluarganya yang berpakaian bertemakan Jalur Gemilang melahirkan keterujaan kerana dapat menyaksikan perarakan dengan pelbagai aset tentera yang disifatkan jarang dipertontonkan kepada umum.
“Kami tiba di sini pukul 6 pagi, memang setiap tahun tidak akan ketinggalan untuk sama-sama rasa kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, tambah pula suami saya yang merupakan anggota Tentera Darat di Kem Rasah di sini turut menyertai perarakan itu,” katanya. -Bernama

