Lebih 20 juta rakyat sudah tebus bantuan SARA dengan perbelanjaan RM1.91 bilion, Parlimen diberitahu

LocalPolitics
18 Dec 2025 • 12:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 20 juta rakyat sudah tebus bantuan SARA dengan perbelanjaan RM1.91 bilion, Parlimen diberitahu
image is not available
liza18/12/2025 - 12:22 Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Dis – Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar (one-off) yang diperkenalkan kerajaan bagi menyokong kos sara hidup rakyat Malaysia mencatatkan penggunaan yang tinggi dengan lebih 20 juta rakyat telah menunaikan perbelanjaan mereka (92%) daripada keseluruhan 22 juta penerima, setakat 17 Disember 2025. 

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata nilai perbelanjaan keseluruhan yang direkodkan melebihi RM1.91 bilion.

 

“Bagi mengatasi isu penyalahgunaan MyKad pula, perlu difahami bahawa memegang dan menggunakan MyKad orang lain merupakan kesalahan menurut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Peraturan 25). 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Sekiranya terdapat kehilangan MyKad, adalah disarankan laporan dan aduan rasmi dibuat kepada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan proses penggantian MyKad dibuat segera dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

 

“Kementerian Kewangan bersama JPN senantiasa mengemaskini senarai penerima layak dari semasa ke semasa dalam memastikan MyKad penerima yang digunakan adalah yang tepat dan terkini berdasarkan versi MyKad yang dibekalkan JPN,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Senator Mohd Hasbie Muda yang meminta penjelasan kerajaan bagaimana memastikan subsidi bersasar dilaksanakan tanpa ada isu melibatkan penyalahgunaan MyKad di Parlimen hari ini.

 

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar menjaga keselamatan MyKad masing-masing agar tidak berlaku sebarang isu yang berbangkit berhubung program bantuan SARA.

 

“Program ini menggunakan pendekatan tanpa tunai dengan kredit dimasukkan terus ke MyKad penerima, membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA. 

 

“Kaedah ini memudahkan kerajaan memantau penggunaan bantuan dan memastikan ia sampai kepada golongan yang sepatutnya,” katanya.

 

Selain SARA one-off, hampir 5.6 juta penerima bulanan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut mencatatkan penggunaan tinggi. 

 

Data semasa menunjukkan 99 peratus daripada jumlah penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM4.59 bilion daripada kelayakan tahunan RM5 bilion.

 

Pelaksanaan program ini mendapat sambutan baik daripada penerima, termasuk golongan warga emas dan rentan. 

 

 

 

 

 

 

 

Kadar penggunaan tertinggi dilaporkan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan, menunjukkan keberkesanan program di kawasan luar bandar.

 

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie pula, beliau berkata baki SARA bulanan dan SARA one-off tidak boleh dibawa ke tahun hadapan dan perlu dihabiskan dalam tahun semasa atau sebelum 31 Disember 2025- DagangNews.com

Terkini featured standard