Lebih 20 mangsa kebakaran paip gas dapat kenderaan sementara hari ini

4 Apr 2025 • 2:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Seramai 25 mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights menerima kenderaan sementara daripada Chery Malaysia untuk kegunaan selama sebulan bermula hari ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata baki 25 lagi daripada keseluruhan 50 kenderaan yang dipersetujui oleh syarikat itu sebelum ini akan diserahkan selewat-lewatnya Isnin ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Chery kerana menunaikan janji mereka. Bukan itu sahaja, mereka turut memberikan wang petrol sebanyak RM100 kepada setiap peminjam kenderaan ini.

“Selain itu, Chery Malaysia juga telah menyumbang sebanyak RM50,000 kepada pengurusan Masjid Putra Heights, yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bagi membantu menampung kos utiliti sepanjang tempoh PPS beroperasi,” katanya.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pelaburan Ng Sze Han melihat kereta Chery yang disumbangkan di Masjid Putra Height, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Beliau berkata demikian pada sidang media di PPS Masjid Putra Heights di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Digital Gobind Singh dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Sesi hari ini menyaksikan Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia Leo Chen menyerahkan 25 kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) kepada mangsa yang memohon untuk menggunakan kenderaan sementara itu selama sebulan.

Amirudin berkata setakat hari ini, pihaknya menerima 112 permohonan pinjaman kenderaan daripada mangsa insiden terbabit, sementara lebih 200 tawaran pinjaman diterima daripada entiti korporat yang berkaitan.

“Kita menerima komitmen ini daripada Carsome sebanyak 50 buah kereta, Carro (30), GoCar (20) dan DRB-Hicom sebanyak 62 kenderaan,” katanya.

— BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved