Lebih 200,000 kenderaan perlu SLD, JPJ hanya iktiraf 33 bengkel

LocalCars
27 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 200,000 kenderaan perlu SLD, JPJ hanya iktiraf 33 bengkel
Anthony Loke

KUALA LUMPUR - Hanya 33 bengkel dan penyedia perkhidmatan diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memasang peranti pengehad kelajuan (SLD) secara retrofit setakat 26 Oktober lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah bengkel yang diberi kuasa itu tidak mencukupi memandangkan lebih 200,000 kenderaan memerlukan pemasangan tersebut.

"Ini antara punca mengapa kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan penguatkuasaan penuh.

"Kita mengalu-alukan lebih banyak bengkel untuk menjadi pusat yang diperakui JPJ bagi menyediakan perkhidmatan pemasangan retrofit," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada 30 Jun lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan penuh terhadap keperluan pemasangan dan pematuhan SLD bagi kenderaan perdagangan untuk memberi ruang kepada industri melengkapkan proses pematuhan secara lebih teratur.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas industri khususnya daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang mempunyai jumlah kenderaan besar dan masih dalam proses menjadualkan pemasangan SLD secara retrofit.

Dalam pada itu Anthony menjelaskan, antara cabaran membabitkan pemasangan tambahan SLD adalah ketidakserasian sesetengah model dengan peranti berkenaan, selain pengeluar asal tidak dapat menyediakan sokongan teknikal diperlukan.

"Selain itu, kapasiti pemasangan dengan pihak yang mengesahkan fungsi SLD perlu diperluaskan bagi menampung jumlah kenderaan yang terbabit," jelasnya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, MOT sedang memuktamadkan kerangka perundangan berkaitan pemasangan, pengesahan dan penguatkuasaan SLD.

Jelas beliau, penguatkuasaan sepenuhnya hanya akan dilaksanakan selepas kerangka perundangan tersebut diwartakan dan semua perincian pelaksanaan diselesaikan.

"Tarikh penguatkuasaan sepenuhnya akan dimaklumkan kepada pihak industri lebih awal selepas semua perkara ini dimuktamadkan," katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved