Lebih 200 rumah terjejas ribut, hujan lebat hampir 2 jam

LocalEnvironment
19 Jun 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 200 rumah terjejas ribut, hujan lebat hampir 2 jam
Menurut laporan diterima APM Kinta, terdapat banyak pokok dan tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan serta jalan raya. Foto APM
Image from: Lebih 200 rumah terjejas ribut, hujan lebat hampir 2 jam
Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung yang tercabut, siling bocor serta beberapa struktur lain. Foto APM
Image from: Lebih 200 rumah terjejas ribut, hujan lebat hampir 2 jam
Sehingga kini, kerja-kerja pembersihan giat dijalankan termasuk mengalihkan pokok tumbang di kawasan terjejas. Foto APM

IPOH - Lebih 200 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Bercham di sini pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu berpunca daripada hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam yang melanda kawasan berkenaan.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Hala Tasek Timur 1; Lorong Bercham 19; Dataran Tasek Timur selain beberapa lokasi lain seperti Lintasan Tasek Timur 1 dan 3, Hala Tasek Timur 34 serta Laluan Tasek Timur 15.

**media[3556298]**

Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung yang tercabut, siling bocor serta beberapa struktur lain, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.

Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinta, terdapat banyak pokok dan tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik sementara waktu demi keselamatan.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut tiba di lokasi bagi membantu kerja-kerja pembersihan," menurut kenyataan tersebut.

**media[3556299]**

Dalam pada itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan siap siaga sekiranya terdapat keperluan untuk menempatkan mangsa.

Sehingga kini, kerja-kerja pembersihan giat dijalankan termasuk mengalihkan pokok tumbang di kawasan terjejas.