
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah bersedia menghadapi penugasan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) dengan kekuatan lebih 3,000 pegawai dan anggota.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan perjalanan PRU15 itu.
“Dari segi siap siaga kami telah bersiap sedia pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian berjalan dengan lancar, jumlah keanggotaan juga mencukupi untuk bertugas sepanjang PRU15 itu,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selasa lepas SPR mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan PRU15 pada 20 Oktober ini.
Sementara itu, Fisol berkata beberapa jalan di bahagian tanah besar ditutup secara berperingkat bermula 8 hingga 10 pagi, Ahad ini di Padang Kota, sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat keenam.-Bernama



