Lebih 3,000 usahawan hadir program 10x Bina Bisnes Berjaya 2023 anjuran RichWorks
zulfadli
04/09/2023 - 10:22
KUALA LUMPUR 4 Sept - Lebih 3,000 usahawan menyertai program 10x Bina Bisnes Berjaya 2023 anjuran RichWorks International Sdn Bhd yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, penganjuran program tersebut bertujuan membantu golongan usahawan meningkatkan hasil jualan dengan mengubah strategi jualan seiring dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, selain itu ia juga bagi mempersiapkan usahawan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.
"Kita mempunyai kehadiran lebih 3,000 orang, alhamdulillah. Yang kita tapis, usahawan-usahawan yang telah berniaga sebab kita nak fokus pada pemasaran macam mana mereka nak atasi masalah polikrisis yang berlaku sekarang," katanya.
Azizan yang juga Mentor Usahawan berkata, penganjuran program tersebut berupaya membuka perspektif baharu untuk usahawan memasarkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
"Ia juga bagi memberikan kefahaman bagaimana mereka nak kekal bertahan, dalam keadaan perniagaan sekarang yang mencabar.
"Tak mudah untuk bersaing dalam pasaran dan mereka perlukan kekuatan pemasaran serta penjenamaan," katanya.

Katanya, beliau berhasrat membantu usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bimbingannya bagi meningkatkan jualan mereka menerusi strategi perniagaan yang terkini.


"Kita nak beri mereka (usahawan) peluang belajar atau tahu apa strategi sekarang, yang mereka perlu buat untuk bertahan dan naikkan balik perniagaan mereka.

"Program 10x Bina Bisnes Berjaya ini kita adakan sesi dua hari yang mana kita mengajar tentang bagaimana nak menguasai pemasaran," katanya. - DagangNews.com

![[VIDEO] Lebih 3,000 usahawan hadir program 10x Bina Bisnes Berjaya 2023 anjuran RichWorks](https://cdn.newswav.com/img/topic/startup.jpeg)


