Lebih 40,000 sertai Karnival Jelajah Jobcare di Selangor

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2024 • 9:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Lebih 40,000 individu menyertai Karnival Jelajah Jobcare 2024 dianjur kerajaan negeri Selangor di tujuh daerah di negeri berkenaan setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, dari jumlah tersebut hampir 6,000 daripadanya ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai bidang dan jawatan termasuk kerjaya profesional.

“Daripada jumlah itu, lebih 1,000 peserta menerima tawaran berkenaan.

"Karnival ini bukan hanya membantu penduduk mendapatkan pekerjaan semata-mata namun turut menjadikan Selangor sebagai negeri berdaya huni.

“Siapa pun yang tinggal akan miliki kemudahan dan akses sama adil. Bukan hanya pekerjaan, kita juga sediakan pelbagai inisiatif antaranya pendidikan dan bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karnival Jobcare Istimewa Selangor 2024 di sini pada Isnin.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti, V Papparaidu dalam kenyataan memaklumkan, program hari ini melibatkan penyertaan 56 pempamer dengan penglibatan 40 majikan, 11 usahawan dan tujuh jabatan atau agensi kerajaan.

"Saya harap orang ramai mengambil peluang kerana 4,600 peluang pekerjaan ditawarkan di mana hampir 75 peratus pekerjaan ditawarkan adalah dengan gaji melebihi RM2,000 sebulan dan hampir 95 peratus kekosongan jawatan di Selangor," ujarnya.

Selain pameran kerjaya, jelasnya, temuduga terbuka dan klinik konsultasi dan beberapa sesi taklimat, seminar dan forum turut disampaikan penceramah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ia termasuk seminar Pengenalan Perkhidmatan Sokongan Pekerjaan Job Coach, iaitu satu lagi program bawah JKM bagi menggalakkan dan menyokong OKU untuk kekal dalam pasaran pekerjaan terbuka.

"Semoga dengan perkongsian oleh JKM ini akan membantu lebih ramai pencari kerja dalam kalangan OKU mendapat pekerjaan," ujarnya.