Lebih 40 usahawan Hijrah sertai kelas strategi jualan, tarik pembeli di TikTok

13 Oct 2023 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SUBANG JAYA, 13 OKT: Seramai 47 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyertai kelas pemasaran digital bagi mengembangkan rangkaian perniagaan atas talian.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata menerusi program anjuran bersama Yayasan Telekom Malaysia (TM) itu, peserta diajar strategi mempromosi produk serta harga jualan ketika bersiaran langsung di aplikasi TikTok

image is not available
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor Normaiza Yahya. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sediakan modul latihan dari peringkat awal iaitu pembukaan akaun TikTok sehingga kemahiran membuat siaran langsung untuk memperkenalkan produk jualan.

“Peserta didedahkan teknik menarik pelanggan membeli di platform ini. Ini antara usaha kita untuk membantu usahawan meningkatkan keuntungan perniagaan,” kata Normaiza Yahya.

Beliau ditemui pada Program Kelestarian Usahawan Digital Yayasan Telekom Malaysia di Hotel Summit, Subang Jaya, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Sahar berkata pihaknya memperuntuk sejumlah RM50,000 bagi melaksanakan program tersebut.

image is not available
Pengarah Yayasan Telekom Malaysia (TM) Ainol Shaharina Sahar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Tajaan ini sebagai sokongan kami terhadap usaha Hijrah untuk melestarikan usahawan digital di negeri Selangor,” katanya.

Hijrah menyalurkan RM775 juta modal tambahan sejak 2010, yang membantu 58,000 usahawan kecil dan sederhana memulakan serta meluaskan perniagaan.

Bantuan itu antara usaha Kerajaan Negeri untuk melonjakkan golongan berpendapatan rendah ke kelas menengah melalui perniagaan.