Lebih 400 aktivis flotila ditahan, didakwa dikasari tentera Israel

WorldPolitics
21 May 2026 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 400 aktivis flotila ditahan, didakwa dikasari tentera Israel
Tangkapan layar skrin video peserta GSF (Cat) yang dikasari rejim Israel

SHAH ALAM - Lebih 400 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang ditahan tentera Israel dilaporkan menerima layanan kasar dan tidak berperikemanusiaan di Pelabuhan Ashdod.

Sebuah rakaman video yang dimuat naik sendiri oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di aplikasi TikTok memaparkan layanan buruk pihaknya terhadap aktivis kemanusiaan terbabit.

Menerusi video berkenaan, kelihatan anggota rejim bertindak menarik rambut dan menolak kepala seorang aktivis wanita selepas beliau melaungkan slogan ‘Free Palestine’ sebaik menyedari kehadiran Ben-Gvir.

Hantaran klip itu dikongsi Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman yang mengesahkan wanita tersebut dikenali sebagai Cat dan berasal dari Ireland.

“Rambut merah jambu, badan penuh tatu tetapi tidak celaru dalam perjuangannya menolak kekejaman penjajah.

“Buruknya perangai Ben-Gvir ini sampai Sentanyabu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) pun mengeluarkan kenyataan bahawa tindakannya tidak mewakili nilai dan prinsip Israel. Eh kejap, Israel ada nilai dan prinsip ke?” ujarnya menerusi perkongsian video di TikTok pada Rabu.

Selain itu, video terbabit turut memaparkan keadaan para aktivis yang diikat tangan ke belakang dan dipaksa berada dalam posisi menunduk dengan kepala diletakkan di atas lantai.

Media pada Rabu melaporkan, para peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) bersama sekumpulan peguam sukarelawan meninggalkan Pelabuhan Ashdod selepas memberikan perundingan undang-undang kepada ratusan peserta flotila yang ditahan secara tidak sah.

Adalah berkata, semua tahanan telah melalui peringkat pemprosesan awal imigresen Israel dan hampir kesemuanya sedang dipindahkan ke penjara Ktziot.

Pasukan undang-undang itu melaporkan pelanggaran sistemik, penderaan fizikal dan psikologi yang meluas oleh pihak berkuasa Israel terhadap para aktivis.

Sehubungan itu, Adalah terus mendesak agar semua peserta berkenaan yang ditahan secara tidak sah dibebaskan dengan serta-merta tanpa sebarang syarat.