
Kota Kinabalu: Bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan, lebih 400 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bentuk dipasang sekitar Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk di laluan utama dan pagar universiti itu.
Ketua Pejabat Canselori UMS Stella @ Nurul Martini Gontol berkata kakitangan universiti di peringkat jabatan, akademi, fakulti, pusat, institut dan bahagian turut mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme mengikut kreativiti masing-masing termasuk mengadakan larian mengelilingi kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Beliau berkata aktiviti itu bukan sahaja menanam semangat kecintaan yang tinggi terhadap tanah air malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
“Ia juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan dan mampu mengurangkan stres selepas seharian bekerja,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Komunikasi) Anna Joudin, selain menjadikan suasana di UMS berwarna-warni, kibaran Jalur Gemilang turut menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
“Memang bangga dengan Jalur Gemilang kerana ini bendera kita dan kampus nampak cantik berwarna-warni dengan bendera pelbagai bentuk berkibaran,” katanya yang berasal dari Papar kepada Bernama.
Nur Irwani Mohd Shah pula berkata kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan dengan kibaran Jalur Gemilang itu mengimbau kenangan terhadap kampungnya di Besut, Terengganu.
“Ketika kecil, orang kampung buat replika seperti kapal dan kereta yang dihiasi dengan Jalur Gemilang. Bila tengok bendera ini menghiasi UMS, teringat waktu di kampung yang meriah seperti ini,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
