KUALA LUMPUR, 31 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani anjuran Kementerian Digital di Sentul Depoh, di sini, pagi ini.
Perdana Menteri yang memakai baju tradisional masyarakat India berwarna coklat tiba jam 11.10 pagi diiringi Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kabinet, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis penuh meriah dan warna-warni itu dihadiri 5,000 pengunjung pelbagai kaum sempena perayaan Pesta Cahaya yang diraikan penganut agama Hindu di seluruh negara.
Pengunjung turut disajikan dengan 32 menu makanan seperti Laddu, Jelebi, Panipuri, Vadai dan Pakoras.
Anwar ketika berucap berharap semangat Deepavali yang diraikan hari ini dapat memberi ruang kepada rakyat beragama Hindu dan masyarakat lain untuk membawa Malaysia ke arah cahaya yang lebih bergemerlapan.
“Seperti kita tahu semangat Deepavali ialah ‘festival of light’, iaitu menyemarakkan lampu cahaya, menggantikan kegelapan.
“Jadi sambutan yang diraikan hari ini tujuannya menyatakan hidup bukan hanya sekadar makan minum malah memupuk kesejahteraan bersama untuk meneruskan perjuangan ke arah kebaikan, keadilan dan ke arah masa depan lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata majlis sambutan Deepavali yang dianjur Kementerian Digital ini merapatkan ukhuwah silaturahim di kalangan masyarakat walaupun terdapat perbezaan agama, kaum, pandangan dan politik.
“Kedatangan pelbagai lapisan rakyat pada majlis yang disambut meriah hari ini menunjukkan negara berada dalam keadaan harmoni dan aman,” ujarnya.
Pada majlis sama, Gobind memberitahu kerajaan Madani di bawah kepimpinan perdana menteri komited untuk memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
“Ini jelas dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan perdana menteri baru-baru ini. Banyak dana disediakan seperti sektor kesihatan dan pendidikan yang akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia, termasuk komuniti India,” jelasnya.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian klasik India iaitu Bharata Naytam dari Akademi Tarian Indarani.

The post Lebih 5,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Deepavali Madani appeared first on Selangorkini.

