
KUALA LUMPUR - Jurang penyertaan dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR yang berlangsung semalam bukan angka yang boleh dipandang ringan, sebaliknya menunjukkan berlakunya defisit kepercayaan dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.
Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim, berkata keadaan ini mencerminkan prospek yang positif bagi Perikatan Nasional (PN) untuk melangkah ke hadapan dalam menghadapi siri pilihan raya yang akan datang, khususnya Pilihan Raya Negeri Sabah.
"Proses pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya melibatkan penyertaan penuh seramai 32,030 perwakilan melalui kaedah pengundian fizikal dan dalam talian, sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
"Namun demikian, berdasarkan keputusan rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden, hanya 13,669 perwakilan yang mengambil bahagian dalam proses pengundian," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut, Nurul Izzah Anwar menerima 9,803 undi, manakala
penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli, memperoleh 3,866 undi.
"Kadar penyertaan ini menunjukkan penurunan ketara sebanyak 57% berbanding jumlah
keseluruhan perwakilan yang layak mengundi," katanya.
Trend ini mencerminkan bahawa lebih dari separuh perwakilan PKR di seluruh negara tidak terlibat dalam proses pemilihan parti, sekali gus memberi isyarat kepada wujudnya unsur boikot.
Pada keputusan rasmi pemilihan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Tiga penyandang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden menggantikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. - 24 Mei, 2025
The post Lebih 50% perwakilan PKR boikot undian: PN appeared first on Scoop.
