Lebih 500 delegasi dari 30 negara bakal hadiri Persidangan Emas Malaysia pada 2026

LocalBusiness & Finance
9 May 2025 • 6:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 500 delegasi dari 30 negara bakal hadiri Persidangan Emas Malaysia pada 2026

image is not available

09/05/2025 - 18:48

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Mei — Persidangan Emas Malaysia (MGC) anjuran Persatuan Emas Malaysia (MGA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Februari 2026 bakal dihadiri lebih 500 delegasi dari 30 buah negara.


Presidennya, Datuk Louis Ng berkata, persidangan yang masuk edisi ketiga itu bakal menyaksikan penyertaan ramai pelawat terutama dari ASEAN dan rantau Asia Pasifik, untuk berkongsi pandangan serta memupuk kerjasama merentas industri logam berharga itu.


Katanya, persidangan itu turut mendapat sokongan utama rakan kongsi utama MGA antaranya ialah Majlis Emas Dunia (WGC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).


"MGC 2026 akan menjadi edisi kami yang paling bercita-cita tinggi selaras dengan standard antarabangsa apabila menyatukan suara daripada ekosistem logam berharga dan mengukuhkan rangkaian emas global," kata beliau dalam satu kenyataan.


Selain itu tambah Louis, persidangan itu turut menghimpunkan ramai pakar perlombongan, penapisan, tukang emas, pengawal selia dan pelabur untuk mereka berkongsi pelbagai perspektif serta mencetus inovasi industri tersebut.


Pada masa yang sama kata beliau, Metals Focus yang akan berkhidmat sebagai Rakan Kongsi Pengetahuan untuk MGC 2026 akan mempamerkan cerapan mengenai sektor emas dengan dipacu data terkini sepanjang acara untuk disaksikan semua delegasi.


Beliau berasa yakin, dengan sokongan daripada rakan kongsi MGA yang juga bertaraf dunia, sektor emas Malaysia berada di landasan tepat serta bersedia untuk mengambil alih peranan kepimpinan masa depan dalam industri logam itu di ASEAN.

image is not available
LOUIS Ng (lima dari kiri) bergambar bersama-sama tetamu selepas pelancaran Pameran Perdagangan Barangan Kemas Emas Malaysia di Pulau Pinang hari ini.


"Saya juga berbesar hati mengumumkan Emirates Gold DMCC yang berpusat di Dubai, baru-baru ini telah menyertai MGA sebagai Ahli Bersekutu Asing serta merupakan antara badan paling besar dan berpengaruh di rantau Asia Barat," kata Louis.


Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu sendiri katanya, merupakan hab emas antarabangsa manakala Emirates Gold pula dianggap paling terkenal dalam industri logam berharga global, yang berbangga sebagai jenama berprestij dengan kualiti dan kecemerlangannya.


Penyertaannya dalam MGA tambahnya, melambangkan kerjasama serantau yang lebih mendalam dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rangkaian emas antarabangsa selain juga akan menjadi penaja untuk penganjuran MGC 2026.


Louis turut mengumumkan MGA melancarkan Kempen "Beli Emas Malaysia: Tradisi Ketukangan, Masa Depan Kecemerlangan" di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


"Program berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Disember 2025 ini mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan ekonomi dan budaya pembuatan emas serta meningkatkan jualan tempatan selain meningkatkan keyakinan pengguna," katanya.


Di samping itu tambahnya, kempen tersebut meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam barang kemas emas dan MGA mengambil peluang untuk menjemput pemain industri emas menyertai kempen dengan menghubungi Sekretariat MGA di info@mga.my. - DagangNews.com

standard