Lebih 500 nyawa penduduk di hujung tanduk

20 Jan 2026 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Walaupun berdepan bahaya yang boleh mengancam nyawa, namun Sakeri terpaksa menggunakan laluan tersebut. Foto Sinar Harian/Hazelen Liana Kamarudin
image is not available
Lebih 500 penduduk di dua buah kampung iaitu Jelekis dan Tok Uban di Lata Rek, Kuala Krai berdepan bahaya apabila jambatan gantung berusia 32 tahun yang menjadi nadi utama urusan harian mereka semakin uzur. - Foto Sinar Harian/Hazelen Liana Kamarudin
image is not available
Mohd Zamri (kanan) semasa meninjau keadaan terkini jambatan gantung di Jelekis, Lata Rek, Kuala Krai. - Foto Sinar Harian/Hazelen Liana Kamarudin

KUALA KRAI - Lebih 500 penduduk di dua kampung iaitu Jelekis dan Tok Uban di Lata Rek di sini berdepan bahaya apabila jambatan gantung berusia 32 tahun yang menjadi nadi utama urusan harian mereka semakin uzur.

Tinjauan mendapati, struktur papan pada jambatan setinggi 6 meter yang merentasi Sungai Chatel itu mulai reput dan talinya sudah longgar sekali gus mengundang resah dalam kalangan pengguna.

Wakil penduduk, Sakeri Isa, 61, berkata, walaupun berdepan bahaya yang boleh mengancam nyawa, namun mereka terpaksa menggunakan laluan tersebut.

"Inilah satu-satunya pilihan yang ada untuk digunakan.

**media[3407469]**

"Terdapat 25 buah rumah penduduk di seberang dan selebihnya adalah kebun getah, sawit serta buah-buahan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurut dia, diharap pihak berwajid dapat datang dan tengok sendiri keadaan jambatan gantung tersebut dan mempertimbangkan untuk membaikinya atau menggantikan yang baharu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lata Rek, Mohd Zamri Mohd Noor berkata, permohonan untuk membaik pulih jambatan gantung itu telah dilakukan beberapa kali.

Namun ujarnya, sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

**media[3407468]**

"Penduduk kini terpaksa bergadai nyawa menggunakan jambatan gantung tersebut. Kerana hanya itu pilihan yang ada buat mereka.

"Saya berharap tindakan segera dapat diambil. Jangan sampai ada yang terkorban atau cedera dikemudian hari," katanya.

Menurut Mohd Zamri, di Lata Rek terdapat titi dan jambatan gantung yang masih digunakan oleh penduduk.

Ujarnya, titi gantung di Kampung Chatel Damai sedang dalam pembinaan baharu dan berharap di Jelekis akan turut sama diganti baharu.