Lebih 500 Pesilat Berhimpun, Penyatuan Anak Murid Silat Gayong  

3 Sep 2022 • 9:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian daripada lebih 500 pesilat pada Perhimpunan Gayong Seirama Peringkat Antarabangsa di padang SMK Agama Kuala Lumpur di Kepong, Kuala Lumpur. - Gambar oleh Sofian Baharom

KUALA LUMPUR - Semangat perjuangan dan kecintaan mendalam terhadap seni silat gayong menyaksikan lebih 500 pesilat dari dalam dan luar negara berkumpul pada Perhimpunan Gayong Seirama Peringkat Antarabangsa di sini, hari ini.

image is not available
Antara aksi peserta Perhimpunan Gayong Seirama Peringkat Antarabangsa di padang SMK Agama Kuala Lumpur di Kepong, Kuala Lumpur. - Gambar oleh Sofian Baharom

Walaupun hujan lebat, kumpulan itu tidak ‘berganjak’ pada program diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Lumpur itu yang berorientasikan Allahyarham Mahaguru Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim.

Dianjurkan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), program tersebut disempurnakan Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Haniff Koslan.  

image is not available
Mohd Haniff Koslan

Pada perhimpunan tersebut, pesilat mempamerkan satu gerakan seirama melalui persembahan teknik bela diri dan permainan sama, walaupun daripada pentadbiran berbeza.  

Gerakan itu sebagai simbolik kepada penyatuan seluruh anak murid silat seni gayong, sekali gus mengeratkan hubungan antara ahli Aliran Silat Seni Gayong (ADMAR).  

image is not available
Aksi pesilat membuat demonstrasi menggunakan tongkat panjang di Perhimpunan Gayong Seirama Peringkat Antarabangsa di padang SMK Agama Kuala Lumpur di Kepong, Kuala Lumpur. - Gambar oleh Sofian Baharom

Turut hadir, anak Allahyarham Meor Abdul Rahman, Fadzilah.  

Mohd Haniff berkata, perhimpunan anak murid silat seni gayong itu adalah bagi mencari titik persamaan kerana kebersamaan tersebut yang akan meneruskan wadah perjuangan dititipkan oleh leluhur Meor Abdul Rahman.

Sejak 80 tahun lalu, beliau memberitahu, seni bela diri tersebut sudah melahirkan lebih lima juta anak murid gelanggang gayong di dalam dan luar negara.

“Dengan jumlah itu pastinya pelbagai rencah, ragam dan sikap wujud.

“Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula anak seperguruan yang lebih lima juta orang. Tentulah lebih tangkas tendang dan tangkisnya.

“Namun kita percaya dalam kepelbagaian ini kita ada banyak persamaan. Kita memiliki gerak langkah sama, kita belajar tumbuk tangkis sama, kita mengatur gerak geri sama, selangkah segerak segayong seirama,” katanya ketika berucap.

image is not available
Pesilat melakukan aksi lompatan anak harimau pada Perhimpunan Gayong Seirama Peringkat Antarabangsa di padang SMK Agama Kuala Lumpur di Kepong, Kuala Lumpur. - Gambar oleh Sofian Baharom

Justeru, tambahnya, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk menyatukan semua anak murid gayong agar timbul semangat perpaduan dalam kalangan mereka.

Langkah itu ujarnya, adalah supaya suara golongan berkenaan lebih didengari pihak berkenaan, selain kebajikan mereka dijaga.

“Dalam arena politik semasa, gambaran Melayu berpecah adalah nyata melalui parti politik, tetapi anak gayong kekal bersatu walaupun berbeza pentadbiran dan pertubuhannya,” katanya. - Getaran, 3 September 2022