
SANDAKAN: Semangat dan kesungguhan generasi muda jelas terpancar menerusi penganjuran Kejohanan Mobile Legends Adun Karamunting dengan penyertaan 100 pasukan melibatkan lebih 500 belia dari sekitar Karamunting, baru-baru ini.
Kejohanan e-sukan anjuran Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Karamunting itu berlangsung meriah di Pasir Putih, Jalan Bokara, sekali gus membuktikan bahawa sukan elektronik bukan lagi sekadar hiburan, tetapi platform penting untuk membina kemahiran, strategi dan semangat kerja berpasukan.
Adun Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, dia terpegun melihat semangat anak muda yang tampil bertanding dalam arena e-sukan.
“Melihat sendiri kesungguhan mereka bermain dengan penuh fokus membuktikan bahawa inilah masa depan generasi Karamunting yang berani mencuba perkara baharu dan menggunakan bakat mereka secara positif.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja tentang menang atau kalah, tetapi tentang memberi ruang kepada belia untuk berkumpul, berinteraksi dan mengasah potensi diri sambil mengelak daripada pengaruh negatif,” katanya.

