
Kota Kinabalu: Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) dan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) terus komited membersihkan pukat hantu yang mengganggu ekosistem terumbu karang di perairan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR).
Sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (ICC) yang diadakan baru-baru ini, 25 penyelam daripada pelbagai agensi termasuk penyelam sukarelawan mengambil peluang untuk sama-sama menyertai program pembersihan pukat hantu di dasar laut.
Pegawai Pemuliharaan Kanan MRF, Liyana Izwin Khalid berkata, setakat ini mereka telah berjaya membersihkan lebih 500 kilogram pukat hantu dengan kerjasama Taman-Taman Sabah (TTS) dan persatuan Sabah Dive Rangers.
Untuk ICC sahaja, mereka berjaya mengutip 141.7 kilogram pukat hantu bagi tempoh tiga hari program pembersihan dilakukan di dasar laut.
