Lebih 55,000 meriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026

20 Sep 2026 • 9:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 55,000 meriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026

KANGAR: Lebih 55,000 pengunjung memeriahkan penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang berlangsung secara dua fasa bermula dari 4-6 September dan 18-20 September.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sambutan hebat itu merupakan satu pencapaian cukup baik malah banyak lokasi seperti tempat perniagaan, kedai makan, inap desa dan hotel dipenuhi pengunjung.

Beliau berkata, menerusi penganjuran acara peringkat antarabangsa itu, ekonomi setempat khususnya di kawasan Kuala Perlis dan negeri ini juga dapat berjalan dengan sempurna.

“Yang pentingnya semangat kampung-kampung yang bertanding di mana sebanyak 19 kampung telah bersama-sama mengerah keringat untuk bertanding dalam penganjuran pesta ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran MBI, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abu Bakar turut menerima cek cura daripada rakan strategik Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang diwakili Pengarah Wilayah Agrobank Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Safaruddin Samsuddin.

Image from: Lebih 55,000 meriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026
ABU Bakar Hamzah (dua dari kanan) menerima cek cura daripada Safaruddin Samsuddin (kanan) sebagai simbolik sumbangan Agrobank sempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Sebagai rekod, Agrobank menjadi rakan strategik bagi penganjuran pesta tersebut menerusi penyaluran sumbangan berjumlah RM100,000.

Bersempena majlis penutup, Agrobank turut membuka reruai bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan kepada pengunjung di mana individu mahu pun usahawan berpeluang mendapatkan penerangan serta khidmat nasihat bersesuaian dengan keperluan kewangan peribadi atau perniagaan.

Abu Bakar berkata, pada tahun hadapan, kerajaan negeri berhasrat untuk menumpukan kepada penganjuran acara keceriaan kampung yang mendapat sambutan begitu menggalakkan.

“Kita lihat bila masuk ke kampung-kampung, cukup meriah dan saya rasa melebihi pesta hari raya. Semua kampung memberi perkhidmatan memeriahkan pertandingan keceriaan kampung.

“Saya lihat keceriaan kampung tersebut memperlihatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat malah orang luar turut hadir. Jadi kita akan buka selepas ini kepada masyarakat Perlis dan luar,” katanya

Beliau turut berharap penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis akan terus berkembang dan berlangsung meriah selain dalam masa sama menarik lebih ramai pengunjung pada masa hadapan.

“Segala khazanah alam, sejarah, budaya dan keunikan masyarakat Perlis hendaklah diketengahkan dengan bijaksana agar terus menjadi kekuatan dan identiti pelancongan negeri,” katanya.-UTUSAN

The post Lebih 55,000 meriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved