Ancaman penipuan atas talian di Malaysia semakin ketara apabila jumlah kes melonjak 87% pada tahun 2025 berbanding 2024 dengan 66,204 kes direkodkan. Peningkatan ini turut disertai kerugian kewangan besar apabila mangsa kehilangan sebanyak RM2.97 bilion iaitu RM1.40 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Daripada keseluruhan kes, penipuan telefon masih mencatat jumlah tertinggi dengan 28,388 laporan. Namun dari segi kerugian kewangan, penipuan pelaburan palsu paling serius apabila mangsa kehilangan sehingga RM1.47 bilion. Ini menunjukkan walaupun penipuan telefon lebih banyak berlaku tetapi kesan kewangan daripada penipuan pelaburan jauh lebih besar kerana melibatkan jumlah wang tinggi dengan janji pulangan lumayan yang tidak wujud.

Fenomena ini membuktikan sindiket penipuan bukan sahaja berusaha memperdaya mangsa tetapi memanfaatkan kepercayaan masyarakat terhadap peluang pelaburan dengan memanipulasi psikologi mangsa. Justeru, penipuan pelaburan muncul sebagai ancaman paling kritikal kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan besar malah menjejaskan keyakinan awam terhadap keselamatan sistem kewangan negara.

Oleh itu, keadaan semasa menuntut kerjasama lebih erat antara pihak berkuasa, institusi kewangan dan masyarakat untuk memperkukuh langkah pencegahan serta meningkatkan kesedaran awam. Dengan perkembangan pesat transaksi digital, orang ramai digesa sentiasa berwaspada, menyemak maklumat melalui saluran rasmi dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang meragukan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setiap kes penipuan bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan emosi individu dan keluarga mangsa. Sehubungan itu, Kempen Combat Scam turut telah dilancarkan untuk mengukuhkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia, sektor perbankan, dan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah ini.
Orang ramai diingatkan bahawa sikap berhati-hati ketika berurusan secara atas talian adalah benteng utama melindungi diri. Justeru itu, memastikan maklumat disahkan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi bukan lagi hanya langkah berjaga-jaga, tetapi satu keperluan mendesak demi keselamatan kewangan dan kesejahteraan bersama.
Sumber – The Star






