Lebih 770 pesakit dialisis terima manfaat perkhidmatan kesihatan Maaedicare

LocalHealth & Fitness
25 Jul 2026 • 10:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 770 pesakit dialisis terima manfaat perkhidmatan kesihatan Maaedicare

KUALA LUMPUR: Lebih 770 pesakit dialisis aktif di seluruh negara terus menerima manfaat rawatan perubatan bersubsidi menerusi pengoperasian 11 pusat dialisis amal Yayasan Amal Maaedicare (Maaedicare) di sembilan negeri.

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan berkenaan, organisasi tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak RM700,000 menerusi majlis malam gala amal tahunannya, A Night of Hope & Healing: Shine a Light, Save a Life.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Maaedicare, Anne Rajasaikaran berkata, kutipan dana tersebut memberi impak langsung dan berpanjangan kepada kehidupan pesakit serta keluarga yang memerlukan.

“Malam ini, saya berbangga untuk berkongsi bahawa kita telah berjaya mengumpul jumlah dana sebanyak RM700,000. Setiap sumbangan yang diberikan mempunyai matlamat tersendiri.

“Ia membantu meringankan beban kewangan rawatan bagi keluarga yang sudah sedia menanggung cabaran berat, selain memastikan pesakit tidak terlepas sesi dialisis disebabkan kos pengangkutan melebihi kemampuan mereka.

“Malah, sumbangan ini membolehkan kami meluaskan kapasiti menerusi penambahan mesin dialisis baharu, sekali gus menerima lebih ramai pesakit yang sukar mendapatkan rawatan berpatutan,” katanya semasa majlis malam gala amal di sini semalam.

Majlis malam gala amal tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, serta dihadiri Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Mengulas lanjut, Anne berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1994, Maaedicare telah menyediakan lebih 1.2 juta rawatan dialisis, manakala Pusat Diagnostik Jantungnya mencatatkan lebih 13,000 kunjungan pesakit dan tiga Klinik Amal Percuma berkhidmat kepada kira-kira 8,000 pesakit setiap tahun.

“Dana yang dikumpul menerusi malam gala tersebut bakal digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif kesihatan, termasuk program bantuan pesakit, penggantian mesin dialisis, perkhidmatan diagnostik jantung berpatutan serta program pemeriksaan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, landskap perkhidmatan kesihatan yang kian berkembang menuntut organisasi amal untuk bergerak melampaui rawatan perubatan berasaskan pencegahan dan intervensi awal.

“Perkhidmatan kesihatan hari ini bukan lagi sekadar merawat penyakit selepas ia berlaku. Ia adalah mengenai pelaburan dalam pencegahan, meluaskan akses kepada penjagaan berkualiti dan memastikan kesukaran kewangan tidak pernah menjadi penghalang kepada perkhidmatan asas.

“Setiap sumbangan malam ini mengukuhkan keupayaan kami untuk merespons keperluan kesihatan Malaysia yang semakin berkembang sambil kekal teguh dengan komitmen menyampaikan penjagaan berkualiti tinggi,” katanya. –UTUSAN

The post Lebih 770 pesakit dialisis terima manfaat perkhidmatan kesihatan Maaedicare appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved