amree13/11/2026 - 17:30 PENGARAH Komersial Kumpulan dan Liputan Pasaran Bursa Malaysia, Stephanie Tan Kar Mun (kiri) bergambar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Phillip Nova, Teyu Che Chern (kanan) pada pelancaran Invest Beyond Borders di Singapura. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov — Pasaran saham Malaysia terus diperluas kepada pelabur serantau dengan Bursa Malaysia melancarkan inisiatif Invest Beyond Borders bagi memudahkan pelabur runcit asing, bermula dari Singapura, dapat mengakses sekuriti syarikat tersenarai tempatan.
Inisiatif itu dimulakan menerusi kerjasama dengan broker berpangkalan di Singapura, Phillip Nova yang menggabungkan akses dagangan digital dengan maklumat pasaran semasa, pendidikan pelabur serta peluang berinteraksi secara langsung dengan banyak syarikat Malaysia.
Program pertama anjuran bersama Bursa Malaysia dan Phillip Nova itu dilancarkan di Singapura pada 7 November 2026, dan sudah menerima lebih 800 pendaftaran, sekali gus mencerminkan minat pelabur runcit negara berkenaan untuk meneroka pasaran ekuiti Malaysia.
"Menerusi platform ini, pelabur Singapura boleh mengakses sekuriti disenaraikan di Bursa Malaysia selain mendapatkan maklumat pasaran dan perkembangan korporat bagi membantu membuat keputusan pelaburan lebih bermaklumat," kata kenyataan bursa tersebut pada Jumaat.
Menerusi program sulung berkenaan, sebanyak enam syarikat tersenarai tempatan diperkenalkan kepada pelabur negara itu, iaitu Top Glove Corporation Berhad, Karex Berhad, Inta Bina Group Berhad, Sunway Healthcare Holdings Berhad, Hi-Mobility Berhad dan Kee Ming Group.
Pelabur tersebut ujar Bursa Malaysia, turut berpeluang mendengar sendiri penerangan secara langsung daripada kepimpinan syarikat berkenaan mengenai rancangan perniagaan, asas kewangan, strategi pertumbuhan serta prospek masa depan masing-masing.

Pengarah Komersial Kumpulan dan Liputan Pasaran Bursa Malaysia, Stephanie Tan berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting untuk mendekatkan pasaran ekuiti Malaysia kepada pelabur runcit serantau dalam persekitaran dipacu teknologi digital dan tanpa sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Phillip Nova, Teyu Che Chern pula berkata, pasaran Malaysia menawarkan peluang yang luas kepada pelabur Singapura untuk mempelbagaikan portfolio serta meneroka potensi pertumbuhan serantau menerusi syarikat dalam pelbagai industri.
Selain Invest Beyond Borders, Bursa Malaysia memperkukuh akses maklumat pelaburan menerusi Skim Insentif Penyelidikan Plus (RISE+) bagi menyokong liputan penyelidikan syarikat tersenarai, serta IR4U yang meningkatkan keupayaan hubungan pelabur dan komunikasi korporat.
Bursa Malaysia juga mengetengahkan indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ 50) dan BMQ Shariah yang masing-masing mencatatkan pulangan sejak awal tahun sekitar 9% dan 12% setakat Oktober 2026, sebagai penanda aras bagi pelabur yang mencari pendedahan kepada syarikat berkualiti.
Usaha itu melengkapi inisiatif MY Value Up yang membantu syarikat tersenarai meningkatkan prestasi korporat dan penciptaan nilai jangka panjang, manakala Bursa Malaysia akan terus menjalin kerjasama dengan broker antarabangsa bagi memperluas penyertaan pelabur asing dalam pasaran ekuiti tempatan. - DagangNews.com





