Lebih 88 juta rakan niaga Alipay sedia sambut ledakan ketibaan pelancong China, Malaysia antara destinasi popular

30 Jan 2024 • 4:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 88 juta rakan niaga Alipay sedia sambut ledakan ketibaan pelancong China, Malaysia antara destinasi popular

herman

30/01/2024 - 16:38

KUALA LUMPUR 30 Jan - Lebih 88 juta rakan niaga global Alipay+ bersedia menyambut ledakan pelancong China pada musim perayaan kali ini dengan Malaysia muncul antara destinasi popular buat rakyat Republik tersebut.

Tempahan perjalanan keluar dari China dijangkakan melonjak lebih 10 kali ganda berbanding musim cuti Tahun Baharu Cina tahun lalu dan negara yang memberikan pengecualian visa kepada rakyat negara itu menjadi tumpuan.

Sehubungan itu, Alipay+, platform pembayaran mudah alih rentas sempadan di bawah Ant International menyifatkan 2024 sebagai tahun mengujakan untuk merealisasikan pelbagai inovasi digital bagi memenuhi keperluan perdagangan rentas sempadan.

Presidennya, Douglas L. Feagin berkata, bagi menjadi pilihan utama pelancong China di seluruh dunia, Alipay telah mewujudkan kadar pertukaran yang telus dan kompetitif, pakej data perayauan percuma atau dengan diskaun, serta kemudahan panggilan telefon dalam aplikasi di lebih banyak destinasi.

"Di samping itu, kami juga memberi sokongan kepada rakan-rakan niaga global dengan pelbagai pakej istimewa antaranya baucar istimewa dengan penjimatan sehingga 90 peratus untuk kegunaan di semua rakan niaga Alipay+ di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Alipay+ menghubungkan lebih 8 juta rakan niaga global kepada 1.5 bilion akaun secara rentas sempadan menerusi lebih 25 e-dompet dan aplikasi pembayaran yang terkemuka.

"Justeru, pelancong antarabangsa dapat membayar secara dalam dan luar talian dengan aplikasi pembayaran negara asal mereka di seluruh dunia secara mudah dan selamat.

"Sementara itu, rakan-rakan niaga dapat memanfaatkan alat pemasaran dan pertumbuhan digital Alipay+ untuk menggalakkan penglibatan pengguna yang lebih berkesan di dalam dan luar negara," jelasnya.

Kata beliau, setakat Januari 2024, e-dompet dan aplikasi perbankan yang bekerjasama dengan Alipay+ termasuk Touch ‘n Go eWallet (Malaysia), Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong SAR, China), GCash (Filipina), TrueMoney (Thailand), OCBC Digital (Singapura) dan sebagainya.

"Pelancongan terutama perjalanan antarabangsa jelas menjadi pemacu kemakmuran negara di Asia dan juga rantau lain.

"Alipay+ akan terus mengembangkan kerjasama dan rangkaian alat digitalisasi kami untuk membantu komuniti berkembang maju melalui perjalanan dan perdagangan rentas sempadan,” tambah Feagin.

Pada tahun 2023, Alipay+ telah menjadi satu-satunya rakan penyelesaian digital rentas sempadan yang menerajui skim QR nasional di rantau ini iaitu SGQR (Singapura), DuitNow (Malaysia) dan ZeroPay (Korea Selatan). - DagangNews.com