
Kota Kinabalu: Pengerusi Borneo Cement Sabah (BCS) Datuk Masiung Banah mempertahankan keputusan membina kilang simen dan klinker bernilai RM1.2 bilion di hutan terpencil Tongod.
Beliau berkata ia adalah langkah praktikal dan mementingkan alam sekitar yang akan membawa pertumbuhan ekonomi kepada salah satu daerah termiskin di Malaysia.
“Apa masalahnya kilang simen dibina dalam hutan? Tak kan kita bina dalam bandar?
“Bukankah lebih baik zon perindustrian kilang simen terletak jauh di kawasan hutan. Jika kita bina berdekatan bandar, sudah tentu ia akan menimbulkan masalah sisa pepejal dan pencemaran udara yang kritikal,” katanya.
Adun Kuamut itu dalam satu kenyataan Isnin menjelaskan, tapak projek itu mengandungi bahan mentah utama seperti batu kapur, tanah liat, pasir dan batu, menjadikannya lokasi strategik untuk pengeluaran simen.
Projek itu diterajui oleh Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd – usaha sama antara Sedco, yang merupakan syarikat berkaitan Kerajaan Sabah, dan Sri Alam Setia Sdn Bhd – akan dibina oleh Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd.
Masiung menjawab kenyataan baru-baru ini oleh Adun Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang mempersoalkan kebolehlaksanaan kilang itu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada 15 April.
Bung mendakwa tapak itu tidak mempunyai bekalan elektrik, air dan akses jalan raya, dan mendakwa pelabur utama projek itu telah menarik diri, sebaliknya wujud aktiviti pembalakan di kawasan itu.
Menyifatkan komen Bung sebagai mengelirukan, Masiung berkata kenyataan itu telah mencetuskan kemarahan penduduk Tongod.
“Mungkin Bung ada agendanya sendiri. Kenyataannya menimbulkan gambaran bahawa projek klinker telah gagal, sedangkan ia masih dalam fasa pelaksanaan awal.
“Beliau sepatutnya menyokong inisiatif ini kerana ia menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan prospek perniagaan baharu untuk masyarakat setempat,” katanya.
Masiung juga menafikan dakwaan pembalakan di tapak itu, dengan menyatakan bahawa kawasan itu sebahagian besarnya diliputi oleh batu kapur dan tidak sesuai untuk pengeluaran kayu.
Tambahnya, pelabur utama, Sinoma International Engineering Co Ltd dari China, bersama BCS, sedang giat menjalankan kerja-kerja awal, termasuk pembinaan jalan dari tapak kilang di Kampung Kayawoi ke jalan utama di Kampung Matiku, Nabawan.
Infrastruktur elektrik dan air sedang dipasang di samping pembinaan menara telekomunikasi optik baharu untuk meningkatkan ketersambungan.
Projek loji simen Tongod itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada April tahun lepas.
Semasa jerayawara GRS di Kampung Sogo-Sogo pada Ahad, Masiung turut mengalu-alukan 112 ahli baharu ke dalam Gagasan Rakyat Kuamut, diketuai oleh bekas guru pelatih Micheal Tamoi.
