'Lebih baik Nur Jazlan fikir kenapa kalah PRU'

Politics
27 Jan 2023 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Razman (kiri), Nur Jazlan. - Foto Awani

IPOH - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria secara sinis menempelak Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengeluarkan kenyataan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengalami masalah kemurungan politik melampau.

Nur Jazlan dilaporkan berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) harus melakukan sesuatu terhadap masalah psikologi yang didakwa dihadapi Abdul Hadi.

Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, berkata Nur Jazlan seharusnya lebih mengutamakan kepada penilaian beliau yang kalah di kerusi Parlimen Pulai selama dua penggal berturut-turut.

“Bagus Datuk Nur Jazlan, susah-susah saja beratkan kepala fikir untuk Perikatan Nasional.

“(Akan tetapi) ada baiknya Datuk fokus kenapa Datuk kalah teruk di kerusi Parlimen Pulai dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.

“Ada baiknya Datuk fikir kenapa UMNO langsung tidak memenangi satu kerusi parlimen pun di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu hantaran pada laman Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu Razman juga meminta untuk Nur Jazlan lebih memikirkan kesan kepada penyokong muda terhadap UMNO selepas parti itu memutuskan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

“Ada baiknya Datuk fikir apa kesan kepada penyokong UMNO daripada kalangan orang muda akibat jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan,” tambahnya.

Pada Selasa, Nur Jazlan dilaporkan menggesa pemimpin PN untuk melakukan sesuatu terhadap ‘masalah psikologi’ Abdul Hadi yang didakwa berlarutan terutama berkenaan kenyataan pemberian wang kepada pengundi semasa PRU15 sebagai sedekah.

Media melaporkan Nur Jazlan berkata, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu untuk ‘banyak-banyak mengucap’ dan menerima hakikat bahawa PN gagal menjadi kerajaan walaupun memenangi jumlah kerusi yang banyak.

Sebelum ini media melaporkan Abdul Hadi mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi semasa PRU15 disifatkan sebagai sedekah.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara berkenaan sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon PN daripada Pas. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved