Lebih baik serah diri

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kulasegaran dan gambar kecil: Tamim Dahri dan Zamri Vinoth (bawah)
image is not available
Kulasegaran (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bagi kerja-kerja baik pulih bumbung kepada seorang mangsa ribut, Jumaini Wari, 78, (dua dari kanan) di Kampung Tasek pada Sabtu.

IPOH – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menggesa penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang dipercayai berada di luar negara supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis.

Beliau berkata, tindakan yang diambil polis ketika ini adalah penting bagi menenteramkan keadaan yang telah dibesar-besarkan sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.

"Saya harap mereka akan menyerah dan terus datang ke polis untuk disiasat. Keputusan sama ada mereka bersalah atau tidak akan ditentukan oleh mahkamah.

"Kita adalah negara majmuk dengan pelbagai bangsa dan agama. Perlu faham satu sama lain. Jika ada perbincangan mengenai agama sendiri, tiada salahnya, tetapi mengkritik agama lain itu tidak boleh diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bagi kerja-kerja baik pulih bumbung kepada seorang mangsa ribut, Jumaini Wari, 78, di Kampung Tasek di sini pada Sabtu.

**media[3463215]**

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menegaskan, kerajaan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

Justeru katanya, semua pihak perlu menghormati proses undang-undang sedia ada dengan tidak mengambil tindakan sendiri.

"Kalau ada apa-apa tindakan perlu diambil, kerajaan akan ambil. Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Siasatan terhadap Zamri juga adalah berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India dan telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.