
AGENDA pembangunan negeri atau Sabah Maju Jaya (SMJ) berada di landasan yang betul dan Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan momentum pembangunan negeri, selain meningkatkan kualiti hidup melalui pelbagai program dan inisiatif.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta rangkaian komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dan mengurangkan kemiskinan.
Berucap pada majlis pengurniaan anugerah sempena ulang tahun keputeraan Yang Dipertua Negeri ke-69 di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu pada 1 Oktober lepas, beliau berkata Kerajaan juga akan menambah peluang pekerjaan, meningkatkan tahap keselamatan dan lebih penting, membangunkan semula ekonomi Negeri yang telah mengalami kelembapan dan terjejas oleh pandemik Covid-19.
Hajiji berkata Sabah telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan setakat 4 September tahun ini di bawah Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Ini menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah rancangan untuk 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 yang komprehensif menunjukkan impak positif.
Beliau berkata ini dapat dilihat melalui jumlah pelaburan asing dan pelaksanaan program pembangunan yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap rakyat.
“Melalui kepimpinan berkesan Kerajaan Negeri dengan pelan pembangunan yang menyeluruh dan hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan, saya yakin Sabah akan terus berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif pendigitalan ke arah Kerajaan Pintar oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun mulai 2020 mampu memenuhi keperluan.
“Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) melalui penyediaan dan penggunaan pelbagai platform telah berjaya memudahkan langkah kawalan dan pencegahan semasa menangani pandemik Covid-19, transaksi perniagaan yang meluas, pewujudan peluang pekerjaan baharu berasaskan teknologi digital, kesinambungan pengurusan pentadbiran kerajaan dan swasta dan kesinambungan pembelajaran di institusi pendidikan.
“Semua ini adalah hasil kemahiran dan kreativiti mencipta sesuatu yang baharu sehingga teknologi digital menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian manusia.
“Jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan yang cekap dan berkesan akan sentiasa meningkat,” katanya dalam perutusan hari jadinya yang ke-69 di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu pada 1 Oktober.
Juhar berkata aktiviti ekonomi dan sosial semakin rancak dan kedatangan pelancong semakin meningkat, satu petunjuk mengenai pemulihan positif dan pertumbuhan semua sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Langkah pemulihan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan memberi kesan positif kepada Negeri.
“Inisiatif itu turut disokong pelbagai usaha dan kerjasama daripada semua termasuk individu, swasta, badan bukan kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan dalam memastikan semua sektor dipulihkan dengan lebih cepat.
“Justeru, saya menyeru semua lapisan masyarakat agar terus bekerjasama dan menyemarakkan semangat perpaduan sebagai tonggak kemakmuran Sabah,” katanya.
Beliau berkata walaupun negara kini memasuki peralihan ke fasa endemik dalam membendung penularan Covid-19, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk mematuhi nasihat yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan sentiasa memperkasakan rakyat dengan pengetahuan untuk mencegah penularan Covid-19 dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti,” katanya.
Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, sektor swasta dan semua pihak atas dedikasi dan sumbangan mereka terhadap kesejahteraan dan keselamatan Sabah serta semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menangani pandemik Covid-19.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


