
Veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat bahawa Anwar tidak melakukan apa-apa sejak mengambil alih jawatan dua tahun lalu. Pada pandangannya, segala yang dilakukan Anwar adalah semata mata untuk membalas dendam terhadap mentor politiknya dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Adakah terdapat reformasi? Ia hanya sekadar cakap sahaja. Apa yang dia laungkan sebelum ini hanyalah kerana dia marah dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana ‘menyerang’ dan menangkapnya.
“Oleh itu, gerakan ‘Reformasi’ lahir, dan orang ramai bersetuju dengan seruan ini. Ianya hanya bertujuan untuk memberikan keadilan kepada dirinya.
“Dia berkata reformasi memerlukan masa, tetapi sudah lebih dua tahun dia menjadi perdana menteri. Sejak Mahathir menjadi perdana menteri dua kali dan Barisan Nasional jatuh, dia masih belum menunjukkan bagaimana dia akan menzahirkan perjuangan reformasi yang dilaungkannya,” lapor Tengku Razaleigh, yang juga dikenali dengan panggilan mesra Ku Li.
Pandangan Ku Li mencerminkan pandangan serupa yang dibuat oleh Mahathir pada bulan Ogos lepas. Menurut Mahathir, adalah "sukar" untuk memikirkan sesuatu yang positif yang telah dilakukan oleh kerajaan Anwar Ibrahim sejak beliau mengambil alih jawatan dua tahun lalu.
Saya bukanlah peminat Anwar, tetapi saya percaya penilaian Ku Li dan Mahathir terhadap Anwar terlalu negatif. Anwar mungkin tidak melakukan semua yang telah dijanjikannya dan dia juga banyak memungkiri apa yang dijanjikannya, tetapi ada juga perkara yang telah berjaya dilakukannya, dan apa yang telah berjaya dilakukannya bukanlah perkara kecil, tetapi kejayaan yang besar.
Masalah Anwar ialah beliau belum pernah menjelaskan dengan sejelas jelasnya apa sebenarnya yang dimaksudkannya dengan istilah reformasi, dan ini telah menyebabkan ramai orang, termasuk Ku Li, percaya bahawa semua percakapan Anwar tentang reformasi hanyalah omong kosong sahaja .Namun, jika kita melihat tindakan-tindakan penting yang diambilnya sejak menjadi perdana menteri dua tahun lalu, kita dapat melihat bahawa Anwar sebenarnya mungkin mempunyai jiwa reformasi yang sejati,dan reformasi yang dimaksudkannya mungkin amat diperlukan untuk membebaskan negara daripada belenggu kesilapan kita yang terdahulu, dan membuka jalan yang telah sekian lama buntu ke masa depan bagi negara kita.
Bagi saya, rasionalisasi subsidi dan langkah beraninya untuk menaikkan gaji pekerja adalah dua perkara penting dalam agenda reformasi yang telah dilaksanakan Anwar sejak mengambil alih jawatan sebagai perdana Menteri dua tahun lepas.
Teori Mahathir untuk membangunkan negara adalah berasaskan kepada idea bahawa cara terbaik untuk membangunkan negara adalah dengan memberikan beliau dan orang-orang pilihannya, yang dianggapnya sebagai tokoh tokoh terbaik di negara, kuasa penuh untuk kawalan mutlak mengawal sumber daya negara. Dengan kuasa dan kawalan penuh ke atas sumber daya negara, beliau dan orang-orang yang dipilihnya akan dapat membangunkan negara dengan cepat untuk manfaat semua rakyat Malaysia
Teori Mahathir ini berfungsi untuk sementara waktu dan memberikan hasil yang luar biasa pada akhir tahun 80-an dan 90-an, tetapi akhirnya, teori beliau terbukti tidak dapat bertahan lama apabila ia dilumpuhkan oleh Krisis Kewangan Asia 1997. Ekonomi negara yang tersungkur pada ketika itu sampai sekarang masih terbantut dan belum boleh pulih sepenuhnya lagi.
Walaupun teori Mahathir terbukti tidak berkesan, banyak idea, struktur dan mekanisme yang beliau perkenalkan untuk melaksanakan visinya masih kekal sehingga ke hari ini, dan kewujudan berterusan peninggalan Mahathir adalah antara sebab untuk ekonomi kita bukan sahaja tidak dapat menghadapi cabaran masa depan, tetapi juga sering diancam oleh kemungkinan kembali kepada taraf ekonomi dunia ketiga .
Langkah Anwar untuk melaksanakan tindakan seperti rasionalisasi subsidi dan peningkatan gaji adalah langkah-langkah penting untuk membebaskan negara dari legasi ekonomi Mahathir ini, dan selagi kita tidak meninggalkan legasi Mahathir, adalah sukar bagi kita untuk melepaskan diri dari perangkap pendapatan sederhana atau middle income trap dan menghadapi cabaran dunia di masa depan.
Daripada gaji pekerja yang sekian lama statik, pemikiran tidak kompetitif yang percaya bahawa cara terbaik untuk berjaya di dunia adalah dengan mengambil hati pihak atasan dan bukannya dengan bersaing di pasaran, rasuah, kemasukkan bilangan pekerja asing yang sangat tinggi dan membimbangkan, ekonomi yang bergantung kepada kebolehan mengeksploitasi tenaga kerja untuk menyediakan perkhidmatan dan barang yang murah dan bermutu rendah berbanding ekonomi yang berkebolehan untuk mencipta perkhidmatan dan barang bermutu tinggi melalui pengembangan bakat dan kemahiran rakyat, kesilapan-kesilapan dasar ekonomi Mahathir telah terlalu lama membebani dan mengecewakan hasrat negara untuk mengembangkan potensi sepenuhnya.
Tanpa dapat mengembangkan potensi penuh kita, jiwa dan rakyat Malaysia juga diresapi racun kekecewaan dan ketidakpuasan hati, yang meyebabkan landskap ekonomi, sosial and politik negara telah diselubungi oleh perseteruan politik yang berpanjangan serta ketegangan kaum dan agama.
Rasionalisasi subsidi, peningkatan gaji dan mungkin juga cukai warisan yang mungkin akan perkenalkan oleh pentadbiran Anwar, adalah langkah-langkah yang betul untuk membebaskan rakyat Malaysia dari beban kesilapan masa lalu kita, menghilangkan ketoksikan politik dan sosial dari landskap kehidupan di Malaysia dan membina masa depan yang baik untuk negara.
Masalah Anwar adalah dia terlalu sedikit mendedahkan apa yang ada di dalam hati dan fikirannya, kerana dia mungkin terlalu berhati-hati dalam perancangan.
Cabarannya untuk berdepan dengan anggota-anggota rejim lama Mahathir yang menentang reformasinya, dan kesukarannya untuk membendung masalah ekonomi, kaum dan agama di negara, juga mungkin menyukarkan kita melihat apa yang dirancang oleh Anwar.
Pemikiran orang-orang lama seperti Ku Li dan Mahathir, yang masih mengaitkan konsep "melakukan sesuatu" atau “membangunkan negara” dengan aktiviti-aktiviti seperti membina lebuh raya, pencakar langit atau bandar baharu mungkin juga sebahagian daripada sebab mengapa ramai orang melihat pentadbiran Anwar sebagai pentadbiran yang "tidak melakukan apa-apa." Penilaian sebegini sebenarnya hanyalah bermakna kepada golongan tua sahaja. Generasi baru rata-ratanya tidak lagi mengaitkan agenda pembangunan dengan aktiviti-aktiviti sebegini lagi.
Walau apa pun, keputusan muktamad yang akan menentukan legasi Adalah adalah terletak pada hasil yang boleh di zahirkannya di dalam realiti, dan bukan bergantung kepada pandangan Ku Li atau Mahathir.
Daripada meluangkan masa, tenaga dan usaha untuk memenuhi hasrat dan keinginan orang-orang seperti Mahathir atau Ku Li, perkara yang lebih penting bagi Anwar adalah untuk membebaskan negara kita dari legasi kesilapan lama dan memperkasakan negara untuk mencari masa depan yang bermakna.
Jika Anwar berjaya, saya yakin bahawa walau apa jua kelemahannya yang lain,akhirnya, dia akan dapat menyumbang kepada negara, memenangi hati generasi akan datang dan dinobatkan sebagai "Bapa Reformasi" yang berjaya menyelamatkan negara pada ketika negara perlu diselamatkan.
TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

