Pasaran kereta elektrik dilihat begitu rancak pada tahun ini, berdasarkan bilangan model baharu yang diperkenalkan, promosi serta penurunan harga untuk model-model terdahulu. Proton e.MAS 7 yang telah mula memeriahkan jalanraya seawal tahun ini telahpun mencatatkan rekod penjualan melebihi 4,000 unit dalam tempoh 1 Januari sehingga 30 Jun 2025.

Proton e.MAS 7 yang dijual bermula RM 109,000 merupakan salah satu pilihan yang popular memandangkan jarak perjalanannya mencapai 410 KM WLTP, lengkap dengan pelbagai ruangan storan, dan juga bumbung yang boleh dibuka. Dengan kemaskini baharu, pengguna juga boleh melancarkan Apple CarPlay menerusi sistem inforia mereka, dengan sokongan Android Auto yang bakal hadir menjelang akhir tahun ini. Bermula bulan ini juga mereka telah mula menjual Proton e.MAS 7 dengan lebih pilihan warna.
Dalam tempoh tersebut juga telah menyaksikan lebih dari 35 cawangan pengedar seluruh Malaysia yang turut memberikan khidmat sokongan dan penyelenggaraan. Malah menerusi sistem inforia Proton, terdapat lebih dari 3,300 palam pengecasan tersedia, dengan 1,100 darinya merupakan pengecas yang terletak di perumahan bertingkat. Integrasi pengecasan ini juga termasuklah dari 10 penyedia pengecasan, dengan yang terbaharu termasuklah Carput Zap, DC Handal, dan Shell Recharge.

Dengan pertumbuhan pemilikan kereta elektrik yang meningkat di Malaysia, ia juga memberikan petanda positif memandangkan Proton juga dikatakan akan hadir dengan kereta elektrik yang lebih mampu milik sebelum tamatnya tahun ini.


