Lebih Maklumat Yes Fiber Dikongsikan – Terhad Di Sabah, RM35 Sebulan Untuk 300Mbps, Percuma Telefon Dan Kad SIM Yes FT5G

TechnologyDigital
3 Feb 2025 • 1:37 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lanjutan daripada perkongsian kami semalam berkenaan dengan Yes Fiber, kini pihak Yes dilihat telah menerbitkan secara rasminya dokumen soal-jawab berkenaan dengan perkhidmatan tersebut. Melaluinya, Yes Fiber dilihat ditawarkan pada harga promosi RM35 sebulan untuk kontrak 24 bulan bagi pengguna awam, dan RM50 sebulan untuk kontrak 24 bulan untuk pengguna perusahaan. Harga promosi ini terhad untuk warganegara Malaysia sahaja. Untuk warga asing, ia ditawarkan pada harga asal RM139 sebulan.

image is not available

Setiap langganan turut hadir dengan GPON Modem secara percuma, selain WiFi 6 Wireless Router secara percuma. Untuk tempoh terhad juga, Yes turut menawarkan telefon pintar secara percuma bersama kad SIM Pelan Prabayar Yes FT5G secara percuma untuk pelanggan. Hanya satu pelan kelajuan sahaja ditawarkan, iaitu 300Mbps.

Yes Fiber buat masa ini ditawarkan melalui rakan niaga Yes di Sabah sahaja, dan belum diperluaskan ke negeri lain. Pelan ini juga tidak menawarkan perkhidmatan panggilan suara. Pada harga penawarannya, boleh dikatakan ini adalah antara perkhidmatan yang sangat berbaloi memandangkan boleh menikmati kelajuan sehingga 300Mbps pada harga hanya RM35 sebulan.