
KUTU sampah di pusat komersial dan pekan dalam kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membayar kompaun secara kolektif berjumlah RM7,960 yang dikeluarkan sebagai sebahagian daripada operasi “Ops Bersih” dalam tempoh dua bulan lalu.
Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) agensi itu berkata RM5,100 dikutip pada Januari dan RM2,860 lagi pada Februari.
Dia berkata mereka yang melakukan kesalahan itu dikesan membuang sampah sesuka hati termasuklah puntung rokok.
“Sebanyak 432 perokok ditangkap antara Januari dan Februari,” katanya. “Kira-kira 398 daripada mereka sudah menyelesaikan kompaun manakala 34 lagi memilih untuk berbuat demikian dalam tempoh tangguh yang diberikan.” SEORANG individu di kompaun kerana membuang pembungkus makanan (dibulatkan) ke lantai di Segama Waterfront.
Menurutnya sesiapa yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil Anti-Sampah Dewan Bandaraya 1984 (Pindaan 2005) boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.
Katanya mereka yang berulang kali mengabaikan seruan agensi itu supaya tidak membuang sampah di kawasan awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 jika didapati bersalah di mahkamah.”
Menurutnya empat hingga lima pegawai JPSP yang berpakaian biasa menjalankan 90 pemeriksaan berasingan antara 3 Januari hingga 26 Februari.
Pemeriksaan ini melibatkan premis di pusat bandaraya serta kawasan dari Telipok hingga ke Lido.
Katanya, kawasan yang diperiksa di Kota Kinabalu termasuk deretan kedai di Kampung Air, Sinsuran dan Segama serta sepanjang Jalan Gaya. Kawasan awam sekitar KK Plaza dan Centre Point Sabah turut dipantau. PEKERJA di kedai makan di Pusat Komersial Politeknik ini ditegur kerana gagal membuang puntung rokoknya (dibulatkan) dengan sewajarnya.
“Jumlah kutu sampah paling ramai ditangkap di Kampung Air (112 orang) diikuti Segama dan Sinsuran (masing-masing 80) serta Centre Point Sabah (26).”
Bagi kawasan di luar had bandaraya, jurucakap itu berkata pasukan JPSP sudah menjalankan pemeriksaan di Marketplace 88, Lintas Square, Lintas Plaza, Kolam Plaza, Damai Plaza, kedai Foh Sang, Likas Plaza, Plaza Juta, Pusat Komersial Alam Mesra, Kingfisher Plaza, Kompleks Mini Pentadbiran Putrajaya, Sulaman Sentral, Pusat Komersial Politeknik, Manggatal Plaza, Pusat Komersial Salut dan kedai di Universiti Utama Condominium (UUC).
Pemeriksaan turut dijalankan di pekan Lido, Inanam dan Manggatal.
“Manggatal mencatatkan jumlah pesalah paling ramai dalam kes ini dengan 34 individu ditangkap kerana membuang sampah sembarangan di kawasan tersebut.
“Ia diikuti Kingfisher Plaza di mana 12 individu ditangkap. Sebelas orang masing-masing dikenakan tindakan di Likas Plaza dan Plaza Juta manakala 10 lagi didenda di Pusat Komersial Politeknik.”
Jurucakap itu berkata DBKK mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran berkaitan pembuangan sampah dalam usaha menggalakkan orang ramai memainkan peranan lebih aktif dalam menjaga kebersihan ibu negeri. KUTU sampah paling ramai di luar bandaraya ditahan di dalam dan sekitar pekan Manggatal.
“Ia bukan hanya tugas pekerja pembersihan dan penyapu jalan untuk memastikan kawasan komersial dalam kawasan penarafan kami kelihatan bersih dan menarik, terutamanya kepada pelancong asing yang pertama kali berkunjung.
“Ia adalah tanggungjawab bersama semua penduduk, pekerja dan pengunjung di kawasan ini.”
