SABAK BERNAM, 15 DIS: Lebih satu juta pelancong domestik dan antarabangsa dijangka ke anjung utara negeri sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO pelancongan berkata sasaran itu berikutan kewujudan pelbagai destinasi menarik bermula dari Kuala Selangor hingga ke Sabak Bernam.
“Untuk keseluruhan, kita sasar lapan juta pelancong tetapi di anjung utara Selangor sahaja dianggar lebih sejuta yang hadir pada tahun depan.
“Pelbagai destinasi yang menjadi tarikan seperti Sky Mirror di Kuala Selangor… pelancong domestik mahupun antarabangsa tidak perlu pergi ke Bolivia kerana ada di Selangor,” kata Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau ditemui pada program Fam Trip bersama pengamal media anjuran Pejabat EXCO Pelancongan dan Tourism Selangor. Dalam program sama beliau merasmikan Funtasi Land yang dibuka di Pantai Redang, Sekinchan.
Suee Lim yang juga wakil rakyat Sekinchan berkata pihaknya giat membangunkan Pantai Redang supaya lebih terkenal sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.
“Pantai Redang kurang dikenali, tidak seperti Pantai Morib. Sebagai wakil rakyat saya ingin bangunkan kawasan ini supaya menjadi tumpuan pelancongan sama ada waktu siang atau malam.
“Dengan adanya penambahbaikan seperti Funtasi Land ia akan menambah lagi keceriaan dan pelancong merasai suasana laut di perkampungan nelayan,” katanya.

November lalu, Suee Lim memaklumkan Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dengan 40 peratus dari luar negara sempena TMS2025.
Jelasnya, Tourism Selangor melaksanakan pelbagai program promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk menggunakan semua platform menonjolkan lokasi menarik di serata negeri.
The post Lebih sejuta pelancong dijangka ke Kuala Selangor, Sabak Bernam tahun depan appeared first on Selangorkini.

