
GEORGE TOWN – Lebih 60 peratus isi rumah berpendapatan rendah di Pulau Pinang tiada simpanan daripada pendapatan bulanan mereka susulan pandemik COVID-19 dan peningkatan kos sara hidup.
Dapatan itu didedahkan dalam laporan hasil tinjauan oleh Penang Institute, yang ditugaskan oleh kerajaan negeri dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Menurut laporan itu, kemunculan pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak keluarga di Pulau Pinang terus hidup terpinggir meski negeri itu mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan, dan trend ini berterusan berikutan paras gaji yang tidak sepadan dengan taraf hidup semasa.
Laporan itu mendedahkan, sebanyak 53 peratus ketua isi rumah berumur 40-54 tahun berisiko kehilangan pekerjaan, dan 87 peratus bagi mereka berusia 55-64 tahun berbanding ketua isi rumah yang berumur 15-39.
Laporan itu turut menarik perhatian bahawa telur kini menjadi sumber protein utama berbanding daging, dengan pengambilan daging dalam pemakanan berkurangan sebanyak 47 peratus berbanding semasa pra-pandemik.
Tinjauan itu dijalankan di bawah Program Sejarah & Pengajian Wilayah Penang Institute yang diketuai oleh Dr Beh May Ting ke atas 632 isi rumah berpendapatan rendah di kesemua lima daerah di Pulau Pinang.

Ia diikuti temu bual dan perbincangan berkumpulan bersama penduduk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Sungai Pinang, PPR Taman Manggis, PPR Mak Mandin dan PPR Desa Wawasan.
Laporan itu dibentangkan oleh May Ting dan penyelidik kanan di Penang Institute, Yeong Pey Jung semasa pelancaran yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pada Isnin lalu.
Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, Pengarah Eksekutif Penang Institute, Dr Ooi Kee Beng dan Robert Gass dari UNICEF Malaysia.
Semasa majlis pelancaran itu, Lim Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang menegaskan kerajaan negeri komited untuk memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama untuk semua.
“Kerajaan Pulau Pinang meletakkan keluarga-keluarga ini sebagai tunjang masyarakat kita, serta menjaga kebajikan mereka, dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan bagi pentadbiran semasa.
“Semasa pandemik, kerajaan negeri bersama-sama kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga dan perniagaan yang memerlukan," katanya.
"Kita perlu mewujudkan dasar yang menyokong kestabilan jangka panjang untuk keluarga berpendapatan rendah.
“Dengan memperkasakan keluarga ini dengan kaedah dan sumber yang mereka perlukan, kita boleh memecahkan kitaran kemiskinan dan membina komuniti yang lebih kuat dan berdaya tahan,” tambah Siew Khim. – Getaran, 28 Ogos, 2024






