
KUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Datin Wendy Wong dan sahabatnya, Datuk Nancie Foo masing-masing menerima anugerah khas pada W.I.S.H. Global Leadership Summit & Women Leadership Awards 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Kedua-dua mereka turut berkongsi detik bersejarah itu menerusi media sosial masing-masing beberapa hari lalu dengan memuat naik beberapa keping gambar ketika meraikannya bersama rakan artis dan kenalan terdekat.
Nancie yang terbabit dalam industri seni sejak lebih tiga dekad lalu dan kini aktif dalam kerja di belakang tabir serta persatuan seni menerima W.I.S.H. Lifetime Legacy Award.
Sementara itu, Wendy pula menerima W.I.S.H. International Influential Film Producer, Director & Writer Award.
Nancie yang turut dikenali menerusi drama kepolisan Gerak Khas mengakui terharu dengan pengiktirafan yang diterimanya.
“Anugerah ini menyuntik semangat kepada kami, bukan sahaja kepada kami, malah seluruh karyawan seni untuk terus berkarya dan berusaha gigih membawa naskhah tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Setiap penerima mempunyai kelebihan tersendiri dan merupakan ikon seni dalam bidang masing-masing,” katanya.
Nancie turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, kenalan dan khususnya Wendy yang sentiasa memberikan galakan serta inspirasi kepadanya untuk terus aktif dalam bidang seni.
Bagi Wendy pula, dia tidak menyangka menerima anugerah berkenaan, lebih-lebih lagi ketika karya terbaharu terbitannya, Last Dive, bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Saya tidak sangka menerima anugerah ini sebelum naskhah terbaharu kami ditayangkan di layar perak. Kami sememangnya sudah lama terbabit dalam dunia seni.
“Anugerah ini menyuntik semangat untuk kami terus berkarya. Sebelum ini ada yang bertanya mengapa kami masih aktif dalam bidang seni. Jawapannya kerana kami merasakan mempunyai platform istimewa untuk memberikan pendidikan dan meningkatkan pengalaman penonton sehingga sesebuah program mampu mencatat jumlah penonton yang tinggi.
“Sebagai contoh, ketika menghasilkan siri televisyen seperti Kisah Benar suatu ketika dahulu, ia mendapat respons positif daripada penonton. Banyak mesej yang disampaikan kepada penonton dan memberikan pengajaran yang baik,” katanya.
Menurut Wendy, mereka turut berhasrat meninggalkan legasi dalam industri seni sebelum bersara.
“Sejak sebelum pandemik COVID-19, Nancie ada memikirkan untuk bersara daripada dunia seni. Bagaimanapun, saya meyakinkannya untuk tampil dengan sebuah filem berjudul Sumpahan Jerunei.
“Selepas menerima pelbagai respons positif terhadap filem itu, ia terus meningkatkan semangat kami untuk menghasilkan lebih banyak naskhah yang mampu memberikan impak kepada penonton,” katanya.
Terdahulu, beberapa selebriti dan tokoh dalam bidang masing-masing turut menerima anugerah pada malam berprestij itu.
Antaranya penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim yang menerima W.I.S.H. Lifetime Legacy Award; Dr Jessie Chung menerusi W.I.S.H. Global Excellence in Performing Arts, Entrepreneurship & Humanitarian Leadership Award; Dr Ezany Nizariff menerusi W.I.S.H. The Global Luminary Award for Outstanding Leadership, Innovation & Multidisciplinary Excellence; serta Datuk Wira Dr Azizan Osman yang menerima W.I.S.H. Chairman Award for Outstanding Contribution to Women Entrepreneurship & Nation Building.
Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen yang menampilkan pelbagai tema dan rekaan pereka ternama.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan artis jemputan termasuk Khatijah yang buat julung kalinya menyampaikan single terbaharunya berjudul Ibu Doa.
Penyanyi dan penulis lirik, Aiman Sidek pula tampil menyampaikan lagu Menemukanmu, yang merupakan runut bunyi filem Last Dive.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah; isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Hamidah Khamis; Pengerusi W.I.S.H. 2026, Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid; serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Sri Hajah Rohani Abdul Karim.
The post Lebih tiga dekad berkarya, Wendy Wong, Nancie Foo raih pengiktirafan appeared first on Utusan Malaysia.
