
Kontroversi video tular yang mendakwa sebuah restoran nasi kandar di Kemayan Square membasuh lebihan makanan untuk dijual semula akhirnya mendapat penjelasan daripada pemilik premis, yang menyifatkan kejadian itu berpunca daripada salah faham pekerja.
Pemilik RB Nasi Kandar, Datuk Fadzil A Bakar, berkata dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas dan bertentangan dengan amalan perniagaannya selama ini.
Menurut beliau, menjual semula makanan lebihan bukan sahaja berisiko tinggi, malah boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan.
“Makanan lebihan cepat rosak dan berbau. Pelanggan pasti boleh kesan kalau ia digunakan semula,” katanya.
Baca juga:
Anak Malaysia berjaya jual AI.com RM276 juta kepada CEO Crypto
KPKT laksana pemutihan rumah ibadat tanpa kebenaran, elak konflik perkauman
Wanita sebak, adik bongsu maut ketika jalani ujian JPJ
Lebihan makanan untuk haiwan
Fadzil menjelaskan, lebihan makanan di restorannya selama ini dikumpulkan untuk diberikan kepada pencinta haiwan bagi memberi makan kucing, burung dan haiwan liar lain. Makanan tersebut akan dibasuh terlebih dahulu bagi menghilangkan minyak dan mengurangkan risiko penyakit kepada haiwan.
Amalan itu telah dilakukan sejak kira-kira tiga tahun lalu tanpa sebarang isu. Namun, insiden kali ini tercetus apabila seorang pekerja warga Pakistan dipercayai gagal memahami soalan individu yang merakam video, lalu memberikan penjelasan yang tidak tepat.
“Saya percaya dia tersilap cakap sebab tak faham soalan. Dia kata makanan itu akan digunakan semula, sedangkan sebenarnya untuk haiwan,” jelasnya.
Tambahan, pekerja terbabit masih baharu dan kurang fasih berbahasa Melayu, selain tidak dapat dihubungi selepas kejadian itu.
Perniagaan terjejas
Menurut Fadzil, penyebaran video tanpa mendapatkan penjelasan terlebih dahulu telah memberi kesan besar kepada reputasi perniagaannya. Isu tersebut turut memberi tekanan kepada operasi restoran yang diusahakan selama bertahun-tahun.
“Saya ada 14 restoran, dan ini kali pertama berlaku perkara seperti ini,” katanya.
Beliau turut mengakui wujud kelemahan segelintir pekerja warga asing dalam menjaga aspek kebersihan, namun menegaskan pihak pengurusan sentiasa mengambil tindakan tegas. Antaranya termasuk pemotongan gaji terhadap pekerja yang melanggar peraturan seperti tidak memakai apron atau kasut sesuai.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan telah membuat laporan polis dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap perakam video yang didakwa memasuki dapur tanpa kebenaran.
Baca juga:
Pengakuan wanita terembat kain hospital sejak bersalin cetus kecaman netizen
Ibu dedah anak OKU terpaksa berlutut ke kantin sekolah?
Wanita persoal penjualan minuman keras secara terbuka di pasar raya
Premis diarah tutup sementara
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa menyaksikan pekerja mencuci lebihan makanan seperti ayam, kambing dan tauhu sebelum diasingkan dalam dulang. Individu tersebut turut mendakwa dimaklumkan bahawa makanan itu akan digunakan semula pada keesokan hari.
Susulan dakwaan berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan notis penutupan sementara terhadap premis tersebut dari 3 hingga 17 Februari.
Tindakan penguatkuasaan turut diambil di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sumber: Sinar Harian
The post ‘Lebihan makanan diberi kepada haiwan, bukan untuk dijual semula’ – Pemilik premis appeared first on The Reporter.





