Lebuhraya DASH: Subkontraktor Tidak Dibayar?

17 Oct 2022 • 7:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pembinaan Lebuhraya DASH dimulakan pada Ogos 2016, dan siap sepenuhnya pada 30 September lalu. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Baru beberapa hari Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dibuka, timbul pula dakwaan kononnya hutang kepada segelintir subkontraktor projek belum dibayar.

Perkara tersebut didakwa menyebabkan kesukaran kepada subkontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan.

image is not available
Mathew Thomas Philip

Peguam, Mathew Thomas Philip berkata, beliau mewakili kumpulan subkontraktor itu untuk  membantu mereka mendapatkan kembali hutang belum dibayar yang dikatakan berjumlah lebih RM80 juta.

"Saya melihat kesukaran yang disebabkan oleh Lebuhraya DASH kepada mereka, keluarga mereka, pekerja mereka, ejen dan pembekal, kerana kerja-kerja tidak dibayar berkaitan pembinaan lebuh raya tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lebuhraya DASH yang dibuka baru-baru ini membabitkan laluan utama sepanjang 20.1 kilometer (km).

Tiga lebuh raya utama dapat dihubungkan melalui Lebuhraya DASH iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE); Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

DASH juga menghubungkan 13 persimpangan keluar masuk dari TTDI ke Puncak Alam.

Pada hantaran tersebut, Mathew juga berkata, dalam projek infrastruktur kegunaan awam yang akhirnya akan dibayar pengguna, beberapa bentuk peraturan harus diwujudkan untuk memastikan keadilan kepada semua yang bertungkus-lumus dalam pembangunan projek berkenaan.

"Dalam hal ini, ketika kita menepuk tangan bagi pembukaan Lebuhraya DASH, ambil masa seketika untuk memperingati hutang yang belum dibayar berkaitan lebuh raya tersebut kepada subkontraktor projek terbabit," katanya.

Beliau turut mempersoalkan kos sebenar Lebuhraya DASH, dari segi kerja tidak bergaji dan kebankrapan yang akan berlaku kepada subkontraktor.

"Kerja keras subkontraktor yang tidak berbayar. Itu hanya saya, sebuah firma guaman menguruskan RM80 juta tetapi apakah sebenarnya jumlah akhir wang yang terhutang kepada subkontraktor yang mungkin tidak dibayar?

"Saya berharap saya boleh menggunakan kemahiran saya untuk mengurangkan kerugian yang mereka akan alami akibat pembinaan Lebuhraya DASH," katanya. - Getaran, 17 Oktober 2022