Pendidikan tinggi bukan sekadar mengutip markah untuk menggenggam segulung ijazah. Ia adalah proses membentuk cara berfikir, membina disiplin, serta melatih kemahiran menyelesaikan masalah secara kritikal dan beretika.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih, cabaran sebenar bukan lagi tentang ‘boleh siap tugasan atau tidak’, tetapi sama ada pelajar benar-benar memahami ilmu yang mereka pelajari – atau sekadar menjadi pengguna teknologi tanpa asas yang kukuh.
Pengakuan tular cetus perdebatan
Namun, satu pengakuan tular baru-baru ini mengundang persoalan besar terhadap sejauh mana pelajar hari ini masih menghargai proses pembelajaran. Dalam satu hantaran di laman Facebook Confession pelajar sebuah IPT, yang merupakan laman tidak rasmi dan sering dijadikan ruang luahan tanpa nama oleh warga kampus, seorang pelajar mendedahkan betapa mudahnya dia dan rakan-rakan menyiapkan tugasan akademik menggunakan bantuan AI.
“Jujur daripada hati I la kan, I kesian kt lecturer-lecturer especially yang boomers. They were trying so hard nak bagi assignment berlambak, assignment last minute tapi sikit pun tak menyusahkan kami.
“We can just tutup mata je siapkan sehari sebelum dengan bantuan ChatGPT Premium, Deepseek and Gemini. Assignments kami semua letup-letup you alls. Siap citations and references.
“Hujung-hujung sem carry mark kami semua kaw-kaw padu atas 50%. Final exam pejam mata je nak dapatkan 30% nak score A. Kesian kan diorang tak dapat nak game kita. FSSK student here. Hehe.”
Etika akademik semakin longgar?
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan etika dan tanggungjawab pelajar. Ramai menganggap ini satu bentuk penipuan akademik dan bukan sekadar penggunaan teknologi secara sah.
Malah, mereka bimbang pelajar seperti ini bakal memasuki alam pekerjaan tanpa ilmu yang sebenar. Namun begitu, kebanyakan kritikan lebih terarah kepada sikap pelajar terbabit, bukannya institusi atau pensyarah.
Risiko dunia sebenar tanpa ‘AI’
Segelintir menyatakan bahawa pensyarah tidak sepatutnya dipersalahkan kerana sudah berusaha menyampaikan ilmu. Sebaliknya, kegagalan sebenar ialah apabila pelajar menyangka ‘lulus’ bermaksud ‘pandai’, sedangkan realiti di tempat kerja jauh lebih mencabar. Dunia pekerjaan tidak mempunyai butang “Generate” seperti ChatGPT, tetapi menuntut kefahaman, kebolehan berkomunikasi, dan ketahanan diri.
Masa untuk ubah cara penilaian?
Ada juga cadangan agar sistem penilaian universiti dikemas kini – contohnya menerusi kuiz mengejut, tugasan lisan, dan projek praktikal – supaya pelajar tidak boleh hanya bergantung kepada AI. Beberapa pihak berpandangan penggunaan AI tidak salah, tetapi ia mesti dijadikan alat sokongan, bukan satu-satunya penyelesaian.
Isu ini menunjukkan betapa garis antara ‘bantuan teknologi’ dan ‘penipuan akademik’ semakin kabur. Jika tidak dikawal, pendidikan boleh kehilangan nilainya, dan ijazah mungkin hanya menjadi kertas kosong yang tidak menjamin kebolehan sebenar.
Dan bila graduan seperti ini melangkah ke dunia kerjaya – adakah mereka bersedia berdepan realiti tanpa ‘bantuan segera’ dari AI?
Apa pandangan anda? Kongsikan di ruangan komen media sosial The Reporter, Facebook, Instagram – adakah penggunaan AI dalam pembelajaran satu kemajuan atau kemunduran sebenar dalam dunia pendidikan?
The post ‘Lecturer bagi assignment berlambak, tapi kami siap sehari je guna ChatGPT’ – Pelajar IPT appeared first on The Reporter.
