Ledakan pusat data jadikan akses elektrik, air faktor penting bagi pemaju hartanah Johor - Juwai IQI

LocalProperty
6 Jan 2026 • 3:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ledakan pusat data jadikan akses elektrik, air faktor penting bagi pemaju hartanah Johor - Juwai IQI image is not available liza06/01/2026 - 15:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Jan – Akses kepada bekalan elektrik dan air dijangka menjadi faktor penentu pasaran hartanah Johor pada 2026, ketika negeri itu mencatat pertumbuhan pesat dalam pembangunan pusat data, taman perindustrian, pejabat dan perumahan, kata Juwai IQI

 

Fenomena ini digelar “power pinch” oleh Juwai IQI di mana projek-projek baharu ‘terpaksa’ menunggu bekalan infrastruktur mencukupi sebelum dapat diteruskan.
 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata setiap bentuk pembangunan hartanah memerlukan air dan elektrik. 

 

“Malaysia kini sedang mengalami ledakan pembangunan pusat data, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi. 

 

“Namun, sebuah pusat data besar boleh menggunakan jumlah elektrik yang setara dengan ratusan hingga ribuan isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, penggunaan air juga tinggi dengan kebiasaan seorang rakyat Malaysia menggunakan sekitar 245 liter air sehari, manakala beberapa pusat data yang kurang efisien boleh menggunakan berjuta-juta liter air setiap hari untuk menyejukkan peralatan mereka.

 

Beliau berkata kerajaan persekutuan dan negeri giat berusaha menangani kekurangan ini.

 

“Walaupun begitu, permintaan elektrik dan air dijangka meningkat lebih cepat berbanding bekalan baharu. 

 

“Bagi 2026, pusat data dijangka menyumbang sehingga 90% daripada semua permintaan kuasa baharu di negara ini,” katanya.

 

Ledakan Pusat Data Bernilai Berbilion Ringgit di Malaysia

Ledakan global dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) pada tahun lepas telah mencetuskan permintaan tinggi terhadap pusat data berasaskan AI.

 

Contohnya, Microsoft melabur sekitar AS$80 bilion, manakala OpenAI membelanjakan AS$500 bilion untuk infrastruktur AI.

 

Beliau berkata Malaysia kini menjadi pemain utama di Asia Tenggara dengan pasaran pusat data paling pesat berkembang. 

 

“Salah satu contoh pelaburan berkualiti tinggi ialah kemudahan penyelidikan seluas 209,000 kaki persegi yang dibuka oleh syarikat semikonduktor Amerika Syarikat, AMD, di Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.

 

“Faktor seperti polisi pro-pertumbuhan, kos tanah dan elektrik yang kompetitif serta lokasi strategik di Asia Tenggara menarik syarikat teknologi global.

 

“Malaysia kini menjadi lokasi lebih dua pertiga kapasiti pusat data yang sedang dibina di rantau ini,” katanya.

 

image is not available
Gambar hiasan freepik

 

Malaysia juga telah melancarkan Model Bahasa AI sendiri, dikenali sebagai Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU). Model tempatan ini, apabila digunakan dalam Bahasa Malaysia dan campuran Bahasa Inggeris didakwa mengatasi prestasi model global seperti Gemini dan ChatGPT.

 

Lima Strategi untuk Pemain Industri Hartanah

Ansari memperkenalkan konsep “power pinch”, di mana projek yang telah diluluskan terpaksa menunggu akses infrastruktur mencukupi sebelum dapat diteruskan dan situasi ini membuka peluang kepada pemaju dan pelabur.

 

“Juwai IQI mencadangkan lima strategi untuk memanfaatkan peluang ini iaitu mengawal tanah yang sudah mempunyai infrastruktur sedia ada, membina projek yang sesuai untuk pelbagai pengguna, menumpukan projek pejabat berhampiran hab teknologi, melabur dalam projek perumahan berhampiran kluster pusat data dan infrastruktur, serta menggunakan jadual pembangunan infrastruktur untuk merancang masa pelaksanaan projek.

 

“Pemilihan tanah dengan akses elektrik dan air yang sedia ada membolehkan projek tidak tertangguh. 

 

“Selain itu, pengendali AI bersedia membayar lebih untuk tanah yang membolehkan pusat data mereka beroperasi dengan cepat,” jelasnya.

 

Dari segi reka bentuk dan pembinaan, Ansari menasihatkan pemaju untuk membina projek yang fleksibel bagi menampung pelbagai jenis pengguna, termasuk pusat data, ujian cip dan pembuatan canggih.

 

Dalam sektor pejabat, fokus harus diberikan kepada projek berhampiran hab teknologi seperti Bangsar South, pinggir KL Sentral, Damansara Heights atau Cyberjaya. 

 

Permintaan bagi pejabat di lokasi ini dijangka kukuh berikutan pertumbuhan pekerjaan berkaitan AI.

 

Untuk pembangunan perumahan, Ansari menekankan peluang untuk membina rumah berhampiran pusat pekerjaan AI dan pusat data di Johor, Cyberjaya, atau Pulau Pinang. 

 

“Kemudahan internet berkelajuan tinggi dan menjadikan hartanah mesra sewa akan menarik profesional teknologi berpendapatan sederhana hingga tinggi.

 

“Pemaju perlu merancang masa pelaksanaan projek selaras dengan siapnya infrastruktur baharu, termasuk grid elektrik dan bekalan air, serta projek lain yang memacu permintaan, seperti Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura.

 

“Kesimpulannya, pada 2026, pasaran hartanah akan dipacu oleh akses kepada elektrik dan air. Pemaju dan pelabur yang merancang projek berdasarkan infrastruktur dijangka memperoleh pulangan terbaik,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article