Legenda Raja Tua Mengkabong, Pahlawan Bajau Samah Yang Menyatukan Pantai Barat Borneo

15 May 2025 • 3:11 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Siapa Pengiran Temenggung Raja Tua Mengkabong?

Legenda Raja Tua Mengkabong, Pahlawan Bajau Samah Yang Menyatukan Pantai Barat Borneo. Di tengah-tengah lipatan sejarah Borneo Utara pada abad ke-18 hingga ke-19, tersimpan satu kisah kepahlawanan luar biasa yang jarang diketengahkan kisah tentang seorang Pengiran Temenggung yang bukan sekadar pemimpin tentera, malah arkitek kepada keamanan, perpaduan dan kemegahan Mengkabong.

Dikenali dengan nama penuh Pengiran Temenggung Sahibul Bahar Abdul Momin Amirul Faza, beliau merupakan cucu kepada Sultan Brunei ke-11 dan berkhidmat di bawah titah Sultan Omar Ali Saifuddin I (Sultan Brunei ke-18). Sebagai pemimpin angkatan laut dan darat, beliau memainkan peranan penting dalam mengekang pengaruh Kesultanan Sulu dan puak lanun Illanun serta Belingingi yang sering menggugat keamanan kampung-kampung pesisir pantai barat.

Namun kisah beliau bukan sekadar tentang perang. Ia adalah kisah bagaimana satu pemimpin berjaya menyatukan pelbagai suku Bajau Samah, Lotud, Iban, Dayak, dan Brunei di bawah satu panji pertahanan dan perpaduan.

image is not available

Mengkabong: Dari Pangkalan Perdagangan ke Kubu Pertahanan

Pada zamannya, Mengkabong dikenali sebagai Tanjung Dallad, sebuah pelabuhan penting dan markas tentera laut Brunei. Di sinilah terletaknya “Kubu Mandi Darah”, kubu pertahanan yang dikatakan penuh dengan keajaiban mistik. Legenda menyebut, sesiapa yang memasuki kawasan ini dengan niat jahat akan tersesat dan membeku seolah-olah dikunci oleh kuasa ghaib.

Temenggung Abdul Momin memerintah kawasan Sungai Tulin dan wilayah sekitarnya termasuk Tuaran, Tempasuk, Pandasan, sehingga ke Likas dan Putatan berdasarkan strategi penempatan angkatan Bajau Samah dari Johor yang diarah mengawal kawasan pesisir.

Angkatan Tentera Rakyat: Suku Bajau Samah yang Setia

Menurut catatan pengkaji Barat seperti Hugh Low dan Forrest, Suku Bajau Samah Mengkabong memiliki kekuatan tentera yang besar mampu mengumpul lebih 2000 orang. Dikenali sebagai pelaut dan nelayan hebat, mereka mempunyai struktur pertahanan sosial yang kukuh, dengan ikatan kekeluargaan dan setiakawan yang tinggi.

Ada kisah menarik, bagaimana satu pertelingkahan kecil di atas kapal dagang bertukar menjadi serangan besar-besaran hanya kerana semangat setia suku yang terlalu tinggi. Mereka mungkin tidak tahu apa puncanya, tetapi tetap bersatu bertindak bersama.

image is not available

Pakatan dengan Suku Lotud dan Cinta di Perantauan

Dalam urusan politik dan sosial, Temenggung Abdul Momin juga bijak. Beliau menjalin pakatan dengan suku Lotud di Tuaran melalui perkahwinan memperkukuh lagi ikatan strategik dan sosial. Anak-anak beliau seperti Datu Temmengung, Datu Ilang dan Datu Tugu, mewarisi keberanian dan memainkan peranan penting sebagai pembesar dan panglima kerajaan.

Perang, Pengorbanan dan Legasi

Titah Sultan membawa beliau ke Mengkabong, tetapi beliau tidak pernah pulang ke Brunei untuk bertemu anak-anak dan isteri. Sebaliknya, beliau kekal mempertahankan bumi yang kini menjadi sebahagian daripada Sabah daripada serangan Sharif Usman dan Kesultanan Sulu.

Beliau bukan hanya mempertahankan, malah melancarkan serangan balas ke wilayah musuh seperti Limbang, Mukah, dan Sambas sehingga ke Filipina. Beliau juga dikatakan melatih seorang anak angkat bangsawan dari Magindanau yang kemudian menjadi Sultan di sana.

Mengkabong Hari Ini: Warisan yang Masih Hidup

Keturunan beliau masih menetap di Mengkabong dan sekitarnya, ramai yang menjadi tokoh-tokoh ternama di Sabah. Namun kisah dan pengorbanan Pengiran Temenggung Abdul Momin bukan sekadar milik satu keluarga, ia milik seluruh rakyat Malaysia yang mahu memahami asal-usul dan sejarah kawasan pantai barat Sabah.

Ia adalah cerita tentang keberanian, kepimpinan, dan perpaduan yang lahir dari darah, peluh dan air mata, di satu sudut Nusantara yang pernah jadi medan pertempuran hebat dan akhirnya menjadi simbol kekuatan dan jati diri.

Sumber :

  1. Spencer St John 1863
  2. Henry Ling Roth/Hugh Brooke Low 1896
  3. Tarling 1978
  4. Pehin Jamil, 1999
  5. Prof Ranjit Singh, 2000
  6. PS Shim 2007
  7. Prof Asbol,2011