Leka ambil gambar kemalangan, pejalan kaki maut dilanggar kereta

19 Jan 2025 • 5:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JOHOR BAHRU, 19 JAN: Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan ketika dia sedang mengambil gambar kejadian kemalangan di Kilometer 14, Lebuh Raya Iskandar Sultan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata mangsa lelaki berusia 68 tahun cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah Jalan Prisma menuju ke Johor Bahru, cuba mengelak kereta Honda CRV yang terbabas, sebelum melanggar batu konkrit pembahagi jalan.

“Akibat daripada kejadian itu, kereta Perodua Alza terbabit telah terbabas dan terlanggar mangsa yang sedang mengambil gambar kejadian kemalangan sebelum itu.

“Pemandu kereta Perodua Alza mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka, tangan kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pada masa sama, kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168,” katanya.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved