
KOTA KINABALU - Seorang lelaki berusia 56 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Inanam, Jun lalu.
Hakim Amir Shah Amir Hassan kemudiannya menetapkan 18 November depan sebagai tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh, Hayer Abdullah.
Tertuduh membuat pengakuan itu pada prosiding pengurusan kes hari ini selepas memaklumkan hasratnya untuk menukar pengakuan awal yang direkodkan sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, Hayer didakwa menyentuh kemaluan mangsa pada waktu petang di tangga sebuah bangunan di Inanam pada Jun tahun ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tempoh tahanan reman terhadap tertuduh dilanjutkan sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala tertuduh diwakili peguam Jasamine Tan dan Lim Ming Zoong atau dikenali sebagai Lawrence. - Getaran, 13 November 2026





