Lelaki 60 tahun dipenjara kerana menyerang, mengugut

11 Jul 2026 • 3:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki 60 tahun dipenjara kerana menyerang, mengugut

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 60 tahun dijatuhi hukuman penjara berjumlah 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat, atas dua pertuduhan mengugut dan menyerang seorang lelaki.

Mahmud Mohd Noh mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap kedua-dua pertuduhan yang dilakukan di Hotel Gemilang di sini, pada jam 6 pagi, 15 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mahmud dihukum penjara lapan bulan kerana mengugut untuk menyebabkan kematian terhadap Md Nazrin Saimie.

Kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mahmud dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang sama di tempat dan waktu yang sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Mahmud menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pengadu membuat laporan polis selepas dipukul dan diugut oleh Mahmud di tangga belakang hotel berkenaan.

Siasatan mendapati pengadu cuba menghalau Mahmud yang dipercayai memasuki kuarters pekerja di tingkat enam hotel itu apabila Mahmud menumbuknya sehingga menyebabkannya tergelincir dan terjatuh dari tangga ke tingkat lima.

Pengadu mengalami kesakitan pada bahagian punggung, pinggang dan belakang badan akibat terjatuh serta dipukul.

Selepas menyerang pengadu, Mahmud turut mengugutnya dengan berkata, “Saya tumbuk muka kau kasi pecah, kalau saya bunuh kau, mati kau.”Bimbang akan keselamatannya, pengadu turun ke bawah dan menghubungi polis.

Sepasukan anggota rondaan tiba di lokasi, namun Mahmud telah meninggalkan hotel berkenaan.

Pengadu kemudian dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

Inspektor Yusdi Basri melakukan pendakwaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved