
Berebut awek punca budak sekolah menengah lunyai kena ‘smackdown’
Lelaki Ajak Geng Belasah Rakan Sekolah, Sebab Cemburu Berebut Awek. Baru-baru ini, satu rakaman tular mengenai kejadian buli di Johor Bahru yang menunjukkan tujuh remaja membelasah salah seorang rakan mereka.
Menurut video tersebut, mangsa yang berusia 15 tahun telah diserang, dipukul dan ditendang beramai-ramai oleh remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun, memetik laporan.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 9 Ogos jam 4.09 petang di Taman Bestari Indah, dan mangsa dilaporkan mengalami kesan lebam di tangan kiri dan kanan, bengkak di paha kanan serta sakit seluruh badan.
Berlaku sebab berebut awek
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat menyatakan bahawa mangsa telah membuat laporan polis dan dipercayai kejadian tersebut berlaku disebabkan berebut teman wanita.
Tambahnya lagi, dia mendakwa suspek utama dan mangsa bersekolah di sekolah yang sama, manakala enam lagi suspek bersekolah di sekolah berbeza.
Telah ditangkap di lokasi berbeza
Dalam pada itu, dipercayai kesemua mereka telah ditahan di lokasi yang berbeza oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Selain itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan lain dan tujuh suspek tertuduh dihantar ke Mahkamah Johor Bahru semalam untuk reman.
Kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 147, yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
