
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 40 tahun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan mengedar 2,726 gram syabu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alexander Siew How Wai, melepas dan membebaskan Kong Jian Wei daripada pertuduhan itu tanpa perlu membela diri pada Isnin.
Dalam penghakimannya, Siew berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Kong dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 2.45 petang, 26 Januari 2022, di tepi jalan Lorong Ranggung Batek, Likas.
Pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika sabit kesalahan.
Kong ditahan reman sejak itu kerana pertuduhan terhadapnya tidak memperuntukkan ikat jamin.
Enam saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Afiq Agoes mengendalikan pendakwaan manakala Kong diwakili oleh peguam Adelia Adnan.
