
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 47 tahun, yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dua tahun lalu, dibebaskan daripada pertuduhan itu, pada Khamis.
Majistret Lovely Natasha Charles melepaskan dan membebaskan Dicky Lee daripada pertuduhan itu tanpa memintanya membela diri.
Lee didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 12.25 pagi 12 Dis 2020 di Jalan Bundusan, Penampang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020), memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 dan RM30,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan.
Pihak pendakwaan telah memanggil empat saksi untuk memberi keterangan pada peringkat pendakwaan. Lee diwakili peguam PJ Perira dan Ariel Dasan.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 29 tahun dipenjara sehari dan didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan kerana melakukan kesalahan serupa.
Azreyzan Maidin mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun atas tuduhan melakukan kesalahan itu pada pukul 2.15 pagi, 28 Mei tahun ini di Jalan Kepayan di sini.
Mahkamah turut memerintahkan Azreyzan dilucutkan kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

