KUANTAN - Seorang perokok didenda RM300 selain diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama dua jam dalam tempoh tiga bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan membuang puntung rokok di kawasan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata, lelaki berusia 40 tahun itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis di bawah Seksyen 77A(1), Akta 672.
Menurutnya, lelaki itu berdepan hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda dan denda RM2,000 jika gagal laksana PKM dalam tempoh ditetapkan.
"Pendakwaan ini sekali gus membuktikan penguatkuasaan undang-undang kebersihan awam dilaksanakan secara tegas dan konsisten tanpa mengira latar belakang individu terlibat.
"Kes ini memberi isyarat jelas bahawa tahap kesedaran serta pematuhan terhadap kebersihan awam hendaklah diamalkan secara berterusan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Khalid berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan sahaja mencerminkan disiplin peribadi malah menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang serta norma masyarakat setempat.
Tambah beliau, pelaksanaan PKM di Pahang dilaksanakan secara tersusun dan berimpak tinggi khususnya di lokasi tumpuan awam seperti pusat bandar kawasan komersial dan lokasi pelancongan.
"Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap pematuhan undang-undang, malah berpotensi dijadikan penanda aras kepada pelaksanaan penguatkuasaan di negeri-negeri lain yang melaksanakan Akta 672.
"SWCorp menyeru seluruh masyarakat, termasuk warga asing, agar menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup dan sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang demi kesejahteraan persekitaran, kesihatan awam serta pemeliharaan imej negara di peringkat antarabangsa," ujarnya.

