SEPANG – Tindakan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh di kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) mencetuskan perhatian orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial pada Sabtu.
Rakaman video berdurasi beberapa saat yang dimuat naik di beberapa platform media sosial memaparkan seorang lelaki berdiri berhampiran kaunter yang dipercayai terletak di kawasan pusat kuarantin kesihatan sebelum didakwa melakukan aksi tidak senonoh.
Dalam video berkenaan, lelaki terbabit dilihat berada di hadapan kaunter tersebut ketika beberapa individu lain turut berada di kawasan berhampiran.
Kejadian itu dipercayai berlaku di ruang awam terminal berkenaan yang menjadi laluan orang ramai, termasuk penumpang penerbangan.
Insiden tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mengecam tindakan lelaki terbabit kerana disifatkan sebagai perbuatan tidak bermoral di tempat awam.
Sebahagian pengguna media sosial turut mempersoalkan punca lelaki berkenaan bertindak sedemikian di kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai.
Setakat ini, identiti lelaki terbabit serta punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian berkenaan.

