Lelaki bujang, janda bersekedudukan hingga lahirkan anak

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki bujang, janda bersekedudukan hingga lahirkan anak
Seorang lelaki bujang diberkas berkhalwat dengan janda hingga melahirkan anak luar nikah di sebuah rumah kampung di Kluang.

KLUANG - Tindakan seorang lelaki dengan seorang janda tinggal serumah tanpa nikah terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan di sebuah rumah kampung di sini.

JAINJ dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 malam baru-baru ini, di rumah yang terletak di kawasan agak terpencil dan jauh dari kediaman penduduk lain.

"Ketika tiba, penguat kuasa mendapati keadaan luar dan dalam rumah gelap sebelum mengetuk pintu serta memberi salam.

"Selepas kira-kira lima minit, pintu dibuka seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang hanya berseluar pendek.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang wanita berusia 20-an duduk di atas tilam sambil mengelek bayi berumur tiga bulan di ruang tamu," katanya.

Hasil soal siasat awal mendapati pasangan berkenaan mengaku tidak mempunyai hubungan suami isteri, namun tinggal bersama sejak sekian lama.

"Wanita itu berstatus janda, manakala lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di sekitar daerah berkenaan.

Difahamkan bayi perempuan yang ditemui itu adalah anak tidak sah taraf dengan sijil kelahiran hanya tertera nama ibu tanpa maklumat bapa.

"Lelaki terbabit turut mengaku bertanggungjawab menyebabkan wanita itu hamil hasil hubungan mereka sejak tahun lalu," tambahnya.

Menurut penguat kuasa, pasangan berkenaan dipercayai tinggal bersama seperti suami isteri dan jarang bergaul dengan jiran sehingga menimbulkan syak masyarakat setempat sebelum aduan dibuat.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, pasangan itu memaklumkan mempunyai hasrat untuk bernikah, namun mendakwa masih terdapat beberapa urusan peribadi yang belum diselesaikan.

Tambah JAINJ, pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.