Lelaki Cadang Papan Iklan Guna Bahasa Melayu Formal Bukan ‘Slang’ Johor Buat Ramai Tak Setuju

31 May 2024 • 4:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Papan iklan atau ‘billboard’ merupakan salah satu teknik pengiklanan yang digunakan oleh pemilik atau pengusaha perniagaan untuk mempromosikan produk jualannya kepada orang awam.

Kebanyakan papan iklan ini boleh dilihat di kawasan awam seperti di lebuh raya, stesen LRT atau MRT dan sebagainya.

Tidak dinafikan, pelbagai teknik pengiklanan yang dilakukan pada papan iklan untuk menarik perhatian orang ramai melihatnya.

Lelaki beri cadangan papan iklan guna bahasa Melayu yang betul, bukan slanga

Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang lelaki memberi cadangan pada sebuah papan iklan untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, lelaki terbabit berkongsi sebuah gambar papan iklan yang menggunakan slanga bahasa Johor.

Di dalam gambar papan iklan tersebut, tertera beberapa menu makanan daripada sebuah restoran makanan segera dengan tulisan ‘Makan mana ek? Restoran ****** Chicken 2.5Km la tapi’.

Cuba tukar ayat pada papan iklan kepada bahasa Melayu sebenar

Lelaki tersebut kemudiannya cuba menukarkan ayat tersebut kepada bahasa Melayu yang betul tanpa menggunakan apa-apa Slang.

“Makan di mana ya? Restoran XYZ Chicken. Hanya 2.5Km dari sini,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menurutnya, papan iklan adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan perlu kelulusan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka terlebih dahulu sebelum dipasang supaya bahasa yang digunakan dari segi tatabahasa serta susunan ayat adalah betul.

Dia pada masa sama turut mengalu-alukan cadangan lain sekiranya ada yang lebih baik daripada oleh ramai.

image is not available

Dakwa ebanyakan papan iklan tidak ikut peraturan kerana tiada permit

Lelaki itu mendakwa kebanyakan papan iklan yang tidak mengikut peraturan seperti menggunakan bahasa rancu atau slanga adalah kerana tidak memohon permit terlebih dahulu sebelum dinaikkan.

Dia turut menasihatkan orang ramai yang melihat papan iklan sedemikian untuk membuat laporan kepada PBT dengan menunjukkan gambar berserta lokasi dan tarikh ia diambil.

“Biasanya papan iklan yang tidak mengikut peraturan, tiada permit, akan diturunkan selepas beberapa minggu aduan dibuat,” tulisnya.

image is not available

Netizen pakat tak setuju, dialek atau slanga seharusnya diberi kelonggaran

Pun begitu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial dipercayai warga Johor tidak bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh lelaki berkenaan.

Segelintir netizen berpendapat bahawa penggunaan dialek atau slanga pada papan iklan seharusnya diberikan kelonggaran agar ia kelihatan lebih menarik.

Malah, ada juga yang berpandangan bahawa isu sedemikian tidak sepatutnya dibahas atau dibesar-besarkan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanyalah memberi cadangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebenar dan bukanlah menyelar penggunaan slanga Johor itu.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available